Warga emas didakwa bunuh abang kandung, kakak ipar

Warga emas didakwa bunuh abang kandung, kakak ipar

CHEE Kooi Heng dibawa ke Mahkamah Seri Manjung, Perak semalam atas tuduhan membunuh abang kandung dan kakak iparnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang pekebun warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini semalam, atas tuduhan membunuh abang kandung dan kakak iparnya di kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, sembilan hari lalu.

Chee Kooi Heng, 63, dituduh membunuh Chee Khoi Sia, 74, di ladang kelapa sawit di Pengkalan Baharu antara pukul 3 hingga 3.30 petang pada 5 Mac lalu.

Dia juga dituduh membunuh Koh Eng Lai, 70, di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh. Dia bagaimanapun mengangguk tanda memahami tuduhan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Cina.

Majistret Nurul Izalina Rajaai menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan perubatan dan laporan kimia kedua-dua mangsa.

Sebelum ini, sepasang suami isteri warga emas dilapor ditemukan mati dalam kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga terdekat.

Kedua-duanya yang berusia 74 tahun ditemukan dalam keadaan cedera parah pada kepala dan muka dipercayai dilibas dengan sabit sawit.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah dilaporkan berkata, polis menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.30 petang.

Lelaki itu memaklumkan bapa saudaranya bergaduh dengan abang kandungnya bersama isteri yang juga kakak ipar suspek.

Menurutnya, kejadian itu disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua mangsa dan suspek.

Difahamkan, suspek adalah adik bongsu daripada enam beradik dan dikatakan tidak berpuas hati berhubung isu tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN