KUALA SELANGOR: Polis memburu seorang wanita yang dipercayai berpura-pura berqiamullail untuk mencuri beg jemaah di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan pihaknya berkaitan kes itu setakat ini kerana identiti suspek yang dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu belum dikenal pasti.
“Kita masih sedang mengesan wanita berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut. Justeru, kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menyalurkannya di balai polis berdekatan,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Tambah Ramli, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan jadian kira-kira pukul 5.40 pagi Ahad lalu itu dirakam CCTV masjid itu sebelum tular di media sosial.
Pengurus Masjid Raja Lumu, Luqman Hafiz Mohd. Amir memaklumkan penelitian rakaman itu mendapati suspek dipercayai berlegar di ruang solat wanita dan hanya menunaikan solat hajat di penghujung qiamullail.
Perbuatan mencuri itu dilakukan sebaik semua jemaah keluar ke khemah untuk bersahur.
Wanita yang memakai telekung separuh itu kemudian menanggalkannya sebelum menghampiri rak berdekatan pintu belakang dan beredar selepas menyedari jemaah yang selesai bersahur masuk ke dalam ruang solat.
Kecurian itu disedari mangsa berusia 60 tahun yang mendapati beg tangan miliknya yang berisi beberapa barangan seperti telekung dan sejumlah wang hilang. – UTUSAN










