Wanita cemburu bunuh kekasih dihadap ke mahkamah - Utusan Malaysia

Wanita cemburu bunuh kekasih dihadap ke mahkamah

Wanita bunuh
TAMILSELVI Anadan diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang wanita model sambilan berdepan dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh teman lelakinya pada 11 Mac lalu dekat sebuah rumah di Taman Rimbayu, Teluk Panglima Garang, di sini.

Kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Maslinda Selamat, namun tertuduh, Tamilselvi Anadan, 26, menggelengkan kepala dan memaklumkan tidak memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Bagaimanapun, bekas mahasiswa perubatan itu mengangguk faham selepas salah seorang peguam yang mewakilinya, Aniesha De Silva menjelaskan pertuduhan tersebut kepadanya dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan pertuduhan, Tamilselvi dituduh membunuh Gawsigan Vickneswaran, 26, yang juga merupakan seorang jurugambar sambilan dekat rumah berkenaan pada pukul 5.30 pagi. 

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan tersebut kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Khadijah Amir Hamdzah kemudian memaklumkan jaminan tidak ditawarkan berikutan kes dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin dan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi penghantaran laporan toksikologi, kimia, bedah siasat dan perubatan.

Sementara itu, peguam Ethan Tan yang turut mewakili Tamilselvi memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.

“Mohon mahkamah membenarkan tertuduh seperti di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk menjalani pemeriksaan mental kerana dia mengalami bipolar. Tertuduh juga mempunyai masalah jantung dan bergantung kepada bateri,” katanya.

Bagaimanapun, Khadijah memohon mahkamah meneruskan penetapan tarikh sebutan semula apabila pihak pendakwaan tidak memberikan sebarang dokumen yang menunjukkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan atau bipolar seperti dinyatakan.

Majistret kemudian menetapkan sebutan semula pada 25 April depan bagi penghantaran dokumen seperti yang dimaklumkan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, angkara cemburu seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai membunuh teman lelaki dengan dengan menikam mangsa menggunakan pisau.

Tertuduh dikatakan menikam mangsa berdasarkan berdasarkan kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki kiri yang dikesan oleh seorang doktor dekat Hospital Cyberjaya ketika merawatnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh, berkata, pihaknya menerima laporan daripada doktor berkenaan yang mendakwa menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN