APPRENTICE kekal diperkatakan sebagai naskhah yang bagus meskipun selepas tujuh tahun filem itu dipertontonkan kepada umum.
Filem Singapura itu juga menjadi antara naskhah yang paling mencabar dan digemari pelakon hebat, Wan Hanafi Su yang menerusinya membawa watak tukang gantung banduan akhir.
Pelakon berusia 74 tahun ini berkongsi pengalaman bertemu tiga pesara yang pernah berkhidmat sebagai tukang gantung di penjara dekat Singapura.
“Pihak produksi yang menjadualkan pertemuan itu supaya saya dapat mendalami karakter tukang gantung.
“Mereka sebenarnya suka berjenaka dan ceria meskipun pernah melakukan pekerjaan yang berat di mata masyarakat.
“Tiga bulan saya berulang alik ke Singapura sepanjang tempoh persiapan untuk watak sehinggakan saya dapat sedalam-dalamnya mengenal watak sebenar tukang gantung,” katanya.

Bercerita lanjut, Wan Hanafi tidak menolak watak tersebut sebagai antara paling memberi kesan kepada dirinya sebagai pelakon.
“Watak itu pada saya antara paling mencabar. Bayangkan saya ambil masa lama untuk hilangkan rasa seronok menjalankan tugas sebagai tukang gantung,” kongsinya.
Penglibatan Wan Hanafi yang mesra dipanggil Ayah dalam dunia lakonan bermula pada 1978. Tahun itu beliau terpilih menjayakan sebuah program yang dibangunkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dipanggil sebagai Wira.
“Saya terpilih membawa watak pencacai kepada watak hero yang dilakonkan Khalid Salleh.
“Ketika itu saya dibayar RM60 bagi dua hari penggambaran. Saya hanya diberi kepercayaan membawa watak utama tiga tahun selepas itu,” ujarnya.
DORONGAN KELUARGA
ATA Wan Hanafi, ibu bapanya tidak pernah menghalang minat seninya, malah memberi dorongan agar beliau meneruskan cita-cita menjadi pelakon.
“Ayah saya merupakan penggiat wayang kulit, jadi darah seni mengalir dalam keluarga saya.
“Bahkan sejak kecil saya sudah bercita-cita menjadi pelakon dan beranganangan menjejaki pentas bangsawan,” katanya.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa pelakon kelahiran Terengganu ini sebenarnya lebih awal bergelar pemuzik sebelum menjadi pelakon. Beliau malah pernah menghasilkan lagu dan bermain muzik di kelab malam.
“Saya bermula dengan menulis lirik dan pernah menjadi pemain dram di kelab malam dekat Terengganu sekitar 1970- an.
“Antara lirik lagu yang pernah saya hasilkan adalah Aku Hanya Serangga yang dipopularkan kumpulan BPR.
“Minat saya cenderung kepada muzik jazz sebenarnya dan disebabkan itu saya pernah hasilkan lagu untuk adik kepada Salamiah Hassan.
“Sekarang kalau saya buat lagu pun adalah untuk nyanyian sendiri yang saya muat naik di saluran Youtube Anak Baru Band,” jelasnya.
IDAM WATAK TERENCAT
MENJAYAKAN lebih 100 drama dan 20 filem, Wan Hanafi dianggap pelakon prolifik yang pernah menghidupkan pelbagai watak sepanjang karier lakonannya.
Berkongsi tentang watak impian, penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (drama) Anugerah Skrin 2013 ini memaklumkan amat mengidamkan watak yang lebih berlainan daripada karakternya.
“Saya kalau berpeluang mahukan watak individu terencat seperti golongan autisme dan sebagainya. Itu antara watak yang saya tunggu-tunggu kerana cabarannya lebih berat dan berlainan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Wan Hanafi menegaskan tidak akan sesekali melakonkan watak lelaki lembut dan sebolehnya mengelak daripada membawakan karakter itu dalam drama atau layar perak.
“Saya tak akan sesekali bawa watak macam itu. Sebelum ada pihak nak tawarkan lagi saya sudah jauhkan diri.
“Isteri saya pun tak benarkan, katanya takut terbawa-bawa,” katanya berseloroh.
SELESA DI LUAR BANDAR
MESKIPUN banyak terlibat penggambaran di Kuala Lumpur, Wan Hanafi tetapi memilih untuk menetap di Besut, Terengganu.
Katanya, beliau tidak kisah berulang alik dari Besut ke Kuala Lumpur kerana sudah selesa tinggal di luar bandar.
“Komunikasi masa sekarang di hujung jari. Selagi ada teknologi, tinggal di gua pun tak ada masalah.
“Selagi rangkaian komunikasi pada tahap memuaskan, saya tak ada masalah tinggal di Besut malah lebih selesa sebenarnya.
“Saya akan cepat bosan kalau tinggal terlalu lama di Kuala Lumpur. Cukuplah pengalaman menetap di ibu kota 15 tahun sebelum ini,” katanya.
Disoal tentang cara beliau menjaga kesihatan dan kecergasan di usia lebih tujuh dekad, Wan Hanafi memaklumkan rajin bersenam sebagai kuncinya.
“Saya pastikan sekurang-kurangnya keluarkan peluh dalam badan dengan bersenam selama setengah jam setiap hari. Saya sengaja tanam pelbagai pokok di rumah supaya boleh sapu daun-daunnya yang gugur.
“Bagi yang pernah ke rumah saya pastinya teruja dengan persekitaran menyenangkan disebabkan banyak pokok yang ditanam di sekitarnya.
“Saya rasa sihat tinggal di kampung. Kalau tidur pun jarang dalam bilik, kebanyakan masa di ruang tamu sebab banyak oksigen kerana banyak pokok,” ceritanya










