UMNO Perak tidak jangka PRK dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

UMNO Perak tidak jangka PRK dalam masa terdekat

SAARANI Mohamad (tengah) menyempurnakan majlis pecah tanah LMT2 di Batu Undan, Segari, dekat Lumut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: UMNO Perak sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di dua kawasan Parlimennya, walaupun tidak menjangka ia akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menjangka proses undang-undang akan mengambil tempoh yang panjang sebelum PRK dijangka boleh diadakan.

“Selepas Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) meluluskan pindaan dalam perhimpunan agung khas (EGM), parti itu perlu hantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS), dan RoS kemudian akan membuat keputusan.

“Jika berdasarkan kenyataan Datuk Syed Abu Husin (Hafiz Syed Abdul Fasal)(Ahli Parlimen Bukit Gantang), mereka berenam (Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri), akan mengemukakan petisyen di mahkamah.

“Jadi, mahkamah akan bersidang bermula di Mahkamah Tinggi, selepas itu pergi ke Mahkamah Rayuan dan pergi pula ke Mahkamah Persekutuan panjang lagi cerita itu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Terminal Maritim Lumut 2 (LMT2) di Batu Undan, Segari, dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, agar UMNO membuka ‘war room’ atau pusat gerak gempur di enam Parlimen susulan pindaan perlembagaan Bersatu itu, bagi menghadapi kemungkinan PRK di enam kawasan Parlimen.

Kelmarin, Bersatu meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada EGM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ia melibatkan Syed Abu Hussin; Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dua daripada kawasan itu terletak di Perak iaitu Bukit Gantang dan Kuala Kangsar.

Saarani menyifatkan cadangan Ahmad itu sebagai peringatan agar ahli parti itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang perubahan politik semasa terutama pilihan raya.

Jelasnya, peringatan untuk membuka ‘war room’ bukan semata-mata untuk enam PRK, kerana PRU-16 pun akan dilaksanakan nanti, jadi perlu sentiasa membuka ‘war room’.

“Seperti biasa memang ada tindakan proaktif (apabila Bersatu pinda perlembagaan parti), tetapi masa untuk mengambil tindakan itu masih panjang lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×