IPOH: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mendesak agar polemik penjualan stoking bertulis kalimah Allah dihentikan segera dengan mengenakan tindakan keras terhadap pihak yang bersalah.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sebagai pengajaran yang berguna buat semua rakyat Malaysia supaya lebih peka dan berwaspada dalam isu sensitif terutama melibatkan agama.
“Kalimah Allah merupakan kalimah yang tertinggi bagi umat Islam, sama ada disengajakan atau tidak, UMNO Negeri Perak menuntut tindakan sekeras-kerasnya diambil,” katanya di sini.
Menurutnya, kejadian itu adalah satu penghinaan kepada kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan yang dianuti oleh orang-orang Melayu.
Beliau memberitahu, UMNO Perak juga menzahirkan kekhuatiran kemungkinan tercetus perbalahan antara kaum jika tindakan sepatutnya lewat dilakukan.
Jelasnya, melihat reaksi orang Islam dalam isu tersebut, pihaknya bimbang keadaan itu boleh melarat jika tindakan yang tuntas tidak dilakukan.
Pada masa sama, katanya, UMNO Perak menyokong sepenuhnya kempen yang dibuat oleh Pemuda UMNO Malaysia untuk memboikot perniagaan kedai serbaneka yang terlibat sebagai tanda bantahan dan solidariti umat Islam dalam isu tersebut.
“Pendirian ini penting dalam memberi pengajaran dan amaran keras kepada semua pihak bahawa kesucian agama Islam tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan.
“Walau bagaimanapun, UMNO Perak juga mengingatkan agar setiap dari ahli UMNO kekal menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam yang bertindak berpandukan al-Quran dan As-Sunnah,” ujarnya.
Katanya, ia penting untuk terus menjaga dan mempertahankan kesucian Islam yang merupakan sebahagian daripada ikrar perjuangan UMNO selama ini.
Menurut beliau, UMNO Perak menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah menzahirkan dukacita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka dan mahu tindakan keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – UTUSAN









