Umar, Nur Atasha Olahragawan, Olahragawati Polysea 2023

Umar, Nur Atasha dinobat Olahragawan, Olahragawati Polysea 2023

UMAR Osman dan Nur Atasha Nabila Saring bersama anugerah Olahragawan dan Olahgarawati Terbaik Politeknik pada Majlis Polysea 2023 di Hotel Impiana Senai, Kulai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelari sensasi negara, Umar Osman melakar nama apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (Polysea) 2023.

Umar, 22, yang meraih pingat emas acara 400 meter Sukan Sea 2023 di Kemboja selain memecah rekod kebangsaan acara itu sejak 22 tahun melayakkan pelajar jurusan Reka Bentuk Industri, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) itu mencetak nama pada anugerah tersebut.

Manakala prestasi cemerlang yang ditunjukkan Nur Atasha Nabila Saring, 24, dalam sukan kayak sehingga meraih pingat perak Sukan Sea tahun lalu meletakkannya selaku penerima Olahragawati.

Umar yang berasal dari Taman Impian Emas di sini berkata, dia memasang angan-angan untuk menempa nama selaku penyumbang pingat dalam Sukan Komanwel atau Olimpik.

“Untuk wakil negara semestinya saya ada impian untuk ke peringkat lebih tinggi. Sebab pencapaian saya paling tertinggi di World Universiti Games, di mana saya memecahkan rekod dua kali, Sukan Sea (dapat pingat emas) dan memecahkan rekod kebangsaan.

“Jadi saya hendak perbaiki lagi rekod saya yang sekarang ini untuk ke peringkat lebih tinggi misalnya di Sukan Komanwel atau Olimpik. Saya akan cuba untuk memecahkan rekod kebangsaan lagi dan meraih pingat dalam sukan terdekat iaitu Sukan Universiti Asia yang akan diadakan di Surabaya, Indonesia dan Sukma di Sarawak tahun ini,”katanya ketika ditemui di Hotel Impiana, Senai di sini kelmarin.

Hadir menyempurnakan majlis ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md. Amir.

Sementara itu, Nur Atasha Nabila yang juga pelajar Diploma Kejuruteraan PIS turut menzahirkan rasa bersyukur setelah menerima anugerah itu.

Anak kelahiran Muar itu berkata, dia memasang target untuk meraih pingat emas dalam acara sukan kayak pada Sukan Sea 2025 yang dijadualkan diadakan di Thailand.

“Pencapaian sukan yang saya dapat adalah Sukan Sukma 2022 Kuala Lumpur saya dapat lapan emas, dua perak dan satu gangsa dan Sukan Sea Kemboja dapat satu perak. Target saya untuk meraih pingat emas di Sukan Sea 2025, saya nak menaikkan lagi sukan kayak ini sebab sukan ini tak berapa terkenal di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan berkata, KPT berhasrat untuk melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara dengan meletakkan sasaran pencapaian pingat emas di peringkat sukan tertinggi termasuk Sukan Olimpik.

“Saya percaya bahawa kita ada bakat, bakat kita ada di mana-mana. Cuma macam mana kita nak bantu sokong mereka. Jadi dalam konteks kita di KPT, kita ada daripada politeknik, kolej komuniti dan juga daripada universiti awam sebab itu kita kena aim satu peringkat yang lebih tinggi.

“Jadi apa yang saya sebut tadi itu (pingat emas Sukan Olimpik) memanglah wajar, sebab kita kita nak naikkan bakat-bakat atlet yang terbaik yang memiliki latar belakang pendidikan yang terbaik,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN