Tyzo pilih IKIMfm

Tyzo pilih IKIMfm

TYZO mengumumkan untuk bersama IKIMfm dalam sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Stesen radio islamik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) hari ini mengumumkan Tyzo sebagai penyampai baharu mereka bagi segmen Inspirasi Pagi.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris akan mengendalikan segmen itu bermula 11 Mac ini, sekali gus menjawab teka-teki mengenai stesen radio pilihannya.

Pemenang Penyampai Radio Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 itu bakal bergandingan dengan dua lagi penyampai iaitu Suffian Amrin dan Luqman Hakim.

Tyzo berkata, dia bakal membawakan sisi yang berbeza dan tidak pernah ditonjolkan sebelum ini ketika beliau bertugas di stesen-stesen radio lain.

Jelasnya, dia juga akan cuba menyesuaikan diri bersama dua lagi gandingan penyampai untuk memberikan hasil yang terbaik kepada para pendengar radio berkenaan.

“Walaupun IKIMfm mengetengahkan genre yang sedikit berbeza berbanding stesen-stesen radio yang pernah saya bertugas sebelum ini, namun pengalaman selama lebih 20 tahun di dalam dunia penyiaran radio ini memberi keyakinan kepada saya untuk berikan yang terbaik kepada pendengar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penjenamaan Semula dan Pelancaran Logo IKIMfm di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tyzo turut mendedahkan dia menerima sebanyak empat tawaran berbeza sebagai penyampai sebelum ini, namun membuat keputusan untuk bersama IKIMfm.

Bekas penyampai Suria FM itu berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan bersama pihak IKIMfm serta Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali.

“Ketika saya mengerjakan umrah baru-baru ini, mungkin Allah SWT telah memberikan saya petanda atau petunjuk kerana doa saya ketika itu adalah jika saya masih lagi boleh memberikan manfaat kepada orang lain dalam kerja saya, saya doa agar terus dipermudah dalam bidang ini,” ujarnya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu turut menangkis persepsi awam bahawa tawaran bersama radio berkenaan bakal mengecilkan ruang lingkup serta mengehadkan jumlah pendengar.

“IKIMfm mempunyai kira-kira 1.6 juta pendengar. Mereka juga mempunyai IKIMTV selain aktif di media sosial. Saya tidak rasa ia ‘downgrade’ bahkan IKIMfm ini akan lebih mendekatkan saya kepada al-Quran serta hadis,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN