CUEPACS, KPISM turun padang dahulu sebelum keluar kenyataan

CUEPACS, KPISM turun padang dahulu sebelum keluar kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin tidak memahami permasalahan yang berlaku di sempadan Malaysia-Singapura.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, Abdul Rahman seharusnya turut melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sebelum mengeluarkan kenyataan.

Menurut beliau, tindakan sedemikian seolah-olah menunjukkan CUEPACS hanya mahu menegakkan benang yang basah.

“Buat pengetahuan Cuepacs dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), waktu puncak di CIQ bagi hari bekerja dan cuti hujung minggu berbeza.

“Kalau hari bekerja, pagi dan petang sahaja akan sesak. Tapi kalau hujung minggu, sepanjang hari sesak disebabkan orang memang keluar masuk Johor-Singapura.

“Saya berpandangan Setiausaha Agung CUEPACS itu tidak benar-benar tahu masalah yang berlaku di pintu sempadan Johor. Semak dan turun padang sebelum nak buat kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Pandak, selaku ADUN bagi kawasan yang menempatkan CIQ KSAB, pihaknya kerap menerima aduan pengguna khususnya pengembara yang menggunakan LinKedua untuk berulang alik antara Malaysia dan Singapura.

“Sebagai ADUN kawasan, saya kerap mengiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kami kena hadap keluhan dan komen rakyat. Rakyat telefon dan ‘tagged’ kita di media sosial, sebagai pemimpin takkan kita nak berdiam.

“Kalau kita tidak kongsi masalah sebenar di media sosial, macam mana rakyat nak tahu. Sekarang semua benda di hujung jari.

“Saya yakin segala usaha Menteri Besar bukan ingin mengaibkan mana-mana pihak. Malah jika pentadbiran di CIQ baik dan lancar, rakyat juga akan menghargai jasa dan komitmen penjawat awam. Bukankah itu memberi impak yang baik terhadap perkhidmatan awam negara,” jelasnya lanjut.

Isnin lalu, Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook meluahkan kekecewaannya apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan seharian berlaku.

Menurut beliau, aspek pengoperasian pintu sempadan negara di CIQ BSI itu dilihat masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh.

Susulan daripada hantaran tersebut, Abdul Rahman menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam dibuat secara berhemah tanpa diuar-uarkan di media sosial.

Katanya, waktu lawatan Onn Hafiz ke Tambak Johor adalah di luar waktu puncak manakala sebilangan kecil kaunter tutup kerana waktu pertukaran giliran pegawai rehat serta tugas pentadbiran lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN