SHAH ALAM: Seorang pemandu lori dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga Thailand dekat sebuah kondominium di Setia Alam, di sini pada 28 Februari lalu.
Tiada pengakuan direkodkan, tertuduh, Nathan Vijayakumar sebaliknya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Bagaimanapun, sebelum itu dia dilihat enggan beri kerjasama ketika diarahkan membacakan nombor MyKad, malah sekadar menggelengkan kepala selepas ia dibacakan sendiri oleh jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan, Nathan didakwa menyebabkan kematian ke atas Marwika Lumyai dekat sebuah unit kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH di sini, pada pukul 10.02 malam.
Oleh demikian, Nathan, 37, dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara antara 30 hingga 40 tahun jika tidak dihukum mati serta 12 kali sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Jun depan. Pertuduhan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman sementara tertuduh diwakili peguam Aravind Raj.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai menolak teman wanitanya dari tingkat 23 sebuah kondominium dekat Setia Alam di sini selepas kedua-duanya dikatakan bergaduh.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa wanita warganegara Thailand berusia 32 tahun maut selepas terjatuh di tingkat tujuh bangunan berkenaan.
Jelas beliau, suspek bagaimanapun ditangkap polis di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk satu berkaitan dadah.
Malah Mohd. Iqbal memaklumkan, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis kanabis. – UTUSAN










