PETALING JAYA: Sebanyak 4,017 laporan berkaitan penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM111 juta direkodkan Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, sebanyak 1,211 laporan diterima sejak awal tahun ini hingga Mac lan dengan kerugian RM 13.1 juta.
“Jumlah tangkapan berkaitan kes penipuan dalam talian seramai 754 orang termasuk 210 wanita.
“Seramai 406 orang suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyan 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, di sini hari ini.
Shahrulnizam berkata, antara modus operandi penipuan dalam talian ialah seperti tipu pelaburan tidak wujud, tipu belian online, ‘love scam’, tipu menawarkan kerja sambilan dan tipu menawarkan pinjaman tidak wujud.
“Kita menasihatkan masyarakat supaya sentiasa ambil tahu trend modus operandi terkini penipuan dalam talian dengan tidak mudah terjerumus menjadi mangsa kepada sindikat tersebut,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat juga dinasihatkan jangan menyerahkan kad bank kepada pihak lain kerana jika wang hasil penipuan tersebut dimasukkan ke akaun anda, anda juga boleh didakwa.
“Masyarakat juga diingatkan sentiasa merujuk kepada bank atau balai polis berdekatan untuk kepastian dan jangan mudah percaya dengan tawaran-tawaran keuntungan luar biasa ini,” katanya.- UTUSAN











