ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan empat individu termasuk seorang pemilik syarikat dan timbalan pengarah logistik sebuah agensi penguat kuasa kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kerja penyelenggaraan kapal bernilai lebih RM1.1 juta.
Perintah reman selama enam hari sehingga 31 Mac terhadap kesemua suspek yang berusia sekitar 30-an dan 40-an dikeluarkan oleh Majistret Siti Noorhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.
Menurut sumber, suspek utama yang merupakan seorang pemilik syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu membabitkan kerja penyelenggaraan kapal agensi terbabit antara Julai hingga November 2020.
“Tiga lagi suspek, masing-masing berjawatan timbalan pengarah logistik, peniaga dan ketua pusat servis disyaki turut bersubahat dengan pemilik syarikat terbabit.
“Kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Kedah, semalam antara pukul 4 petang hingga 11.30 malam tadi ketika hadir bagi dirakamkan keterangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. –UTUSAN











