PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki yang memukul seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini pada 26 Februari lalu.
Ketiga-tiga suspek ditahan di sekitar ibu negara kira-kira pukul 5 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mereka yang ditahan berusia antara 38 hingga 43 tahun dipercayai berada di lokasi ketika kejadian.
“Kawad cam dilakukan oleh mangsa berusia 40-an terhadap ketiga-tiga suspek adalah positif
“Mereka akan dituduh di mahkamah hari ini, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya di sini.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan tiga lelaki yang memukul seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, pada 26 Februari lalu.
Kejadian itu yang tular di media sosial pukul 11.30 pagi pada 29 Februari lalu.
Semakan dilakukan mendapati rakaman berdurasi empat minit dua saat itu yang memaparkan seorang pemandu e-haling dipukul tiga lelaki berlaku pukul 6.30 petang pada 26 Februari lalu.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika hendak mengundurkan keretanya.
Penunggang motosikal itu kemudian menunjukkan jari tengah sebagai tanda tidak berpuas hati sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Beberapa minit kemudian, mangsa didatangi tiga lelaki tempatan dari gerai tepi jalan yang memarahi mangsa dengan alasan bersikap biadap terhadap penunggang motosikal.
Ketiga-tiga suspek bertindak memukul dan mencederakan mangsa. Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian. – UTUSAN










