Tidak cukup hanya permohonan maaf

Tidak cukup hanya permohonan maaf – Dr. Na’im

KK Mart
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan maaf sahaja tidak mencukupi bagi menutup kesalahan yang dilakukan terhadap mana-mana pihak terlibat dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, hukuman setimpal perlu dikenakan supaya ia menjadi pengajaran kepada pihak yang cuba menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku jika pihak terlibat mengambil langkah pengauditan dan pemeriksaan sebelum menjual sebarang barangan kepada orang ramai.

“Budaya kita memang digalakkan untuk memohon maaf, tetapi kita tidak mahu setiap kali jadi isu seperti ini (stoking kalimah Allah), kita hanya minta maaf.

“Perkara seperti ini (kesalahan penjualan stoking kalimah Allah) perlu menjadi pengajaran kepada pihak KK Mart, vendor (pembekal) supaya lebih berhati-hati melibatkan isu 3R,” katanya ketika ditemui selepas melawat Ibu Pejabat Media Mulia di sini semalam.

Sebelum ini, KK Super Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, dekat sini minggu lalu.

Mohd. Naim berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakiman Mohd. Yusoff untuk meng­adakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kumpulan KK Mart semalam.

“Pertemuan ini bagi memberi ruang kepada pihak Jakim untuk menjalankan siasatan terperinci tentang bagaimana perkara itu boleh berlaku,” katanya.

Beliau kemudian menyeru kepada masyarakat dan umat Islam supaya tenang dan sabar untuk menunggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Saya dimaklumkan laporan polis juga telah dibuat dan siasatan oleh pihak Jakim juga sedang berjalan. Begitu juga dengan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup) juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini.

“Jadi, kita akan tunggu siasatan dan laporan daripada (pihak terlibat) dan semoga daripada laporan itu boleh kita kenal pasti (punca dan bagaimana ia berlaku), sebelum tindakan seterusnya boleh diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN