PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menerima permohonan maaf daripada seorang bekas pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini mendakwa wang lebih RM30,000 dalam akaun TH miliknya hilang.
TH dalam kenyataan berkata, berikutan dakwaan kehilangan wang yang telah memberi kesan kepada imej dan reputasi TH telah memberikan penerangan terperinci kepada pengadu berdasarkan bukti-bukti yang jelas.
“Pihak pengurusan TH telah berjumpa dengan Datu Jabidah Monseri di Kuching, Sarawak dan beliau telah melahirkan rasa kesal serta membuat permohonan maaf.
“TH menerima permohonan maaf dari beliau dan turut berterima kasih kepada Datu Jabidah atas kerjasama baik yang telah diberikan,” katanya.
Terdahulu, Datu Jabidah mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.
Bagaimanapun, TH mendapati pemindahan wang itu adalah daripada akaun Tabung Haji pengadu kepada akaun bank miliknya sendiri.
TH berkata, pihaknya mempunyai sistem pengurusan deposit yang selamat dan teguh serta sentiasa memberi perhatian yang amat serius terhadap keselamatan dan integriti operasi.
“Platform atas talian THiJARI juga telah dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan yang menepati standard dan amalan terbaik pasaran setaraf dengan aplikasi yang digunakan oleh institusi perbankan,” katanya. – UTUSAN










