PETALING JAYA: Saman malu yang difailkan ke atas Datuk Freddie Fernandez tidak menghalang presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu untuk terus lantang bersuara tentang bayaran royalti.
Freddie yang ditemui semalam berkata beliau akan terus memperjuangkan nasib penggiat seni yang lebih 24 tahun terkesan dengan masalah tersebut.
“Saya akan perjuangkan isu ini sampai habis. Ini melibatkan dua badan (pengutip royalti), satu Prism yang sudah ditutup, manakala RPM yang masih beroperasi.
“Penggiat seni yang berdaftar dibawah Prism tidak menerima satu sen pun (bayaran royalti) selepas badan tersebut ditutup. Saya mahu masalah selesai, gabungkan ahli-ahli Prism dengan RPM. Itu yang penting.
“Tapi persoalannya siapa yang nak buat semua ini? Takkan kita nak ganggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasal perkara ini? Apa pun saya akan bincangkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia,” katanya.
Freddie berkata demikian selepas majlis iftar dan penyampaian sumbangan kepada penggiat seni anjuran Karyawan, semalam.
Dalam majlis tersebut, seramai 50 artis yang berdepan masalah kewangan, menerima bantuan perayaan berjumlah RM1,000.
Freddie pada semalam mendedahkan beliau dan Karyawan berdepan saman malu yang difailkan secara berasingan Public Performance Malaysia (PPM) selepas mengeluarkan kenyataan tentang masalah royalti.
Ujar Freddie, dia sedia melawan semula saman yang dikemukakan dan sedang membuat persiapan bersama peguam yang dilantik menjelang perbicaraan pertama yang akan berlangsung Mei depan.
“Ini merupakan tindakan (saman) ke empat yang saya terima kerana bersuara tentang masalah royalti.
“Saya tetap lawan balik dengan bimbingan peguam yang dilantik demi mempertahankan hak bayaran royalti artis yang terkesan,” kongsinya.










