PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara melibatkan lokasi yang merekodkan status cuaca panas Tahap 1.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abdu Hassan berkata, sekiranya cuaca panas terus berpanjangan sehingga bertukar status gelombang haba, Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan selanjutnya seperti menutup institut pendidikan di bawah pengurusannya.
“Sekiranya status cuaca bertukar kepada status gelombang haba, tindakan selanjutnya boleh diambil oleh Kementerian Pendidikan sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016 dan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Gelombang Haba 2021.
“Ia termasuk Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut merujuk kepada status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, yang mana melibatkan Perlis dengan gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celcius sejak 19 Mac lalu.
Dr. Muhammad Radzi berkata, suhu itu boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas termasuk individu menghidap penyakit kronik.
Katanya, murid-murid antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas.
Beliau menjelaskan ia disebabkan faktor fisiologi dan kurang pengambilan air.
“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya.
“Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, ketika bersahur dan berbuka puasa hendaklah meminum air yang mencukupi dan awasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa,” katanya. – UTUSAN









