KLANG: Sekolah di kawasan yang berdepan cuaca panas melampau sekali lagi diingatkan untuk menangguhkan seketika pelaksanaan aktiviti luar darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah tersebut perlu mengikut arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini bagi memastikan murid tidak terdedah kepada risiko terkena strok haba.
“Kebenaran khas untuk memakai pakaian sukan turut diberikan kepada sekolah yang mengalami cuaca panas.
“Selain itu, pihak sekolah juga turut diminta memantau keadaan murid dan mengambil langkah sewajarnya sekiranya ada murid yang terkena strok haba,” katanya selepas Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan Bersama Calon Peperiksaan STAM 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), hari ini.
Jelasnya, KPM sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung perkembangan semasa fenomena El Nino daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia ) dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya tindakan sewajarnya terhadap guru dan pelajar sekolah dapat diambil.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan fenomena El Nino dijangka berlaku sehingga hujung bulan ini, dengan membawa cuaca panas dan kering.
Melihat kepada fenomena itu, KKM telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada rakyat Malaysia bagi menghadapi El Nino, yang dijangka berlaku sehingga Jun ini.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2023 adalah lebih baik berbanding tahun 2022.
“Indeks Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun lalu adalah 3.09, berbanding 3.13 tahun 2022. Pada tahun 2023, seramai 4,058 orang yang menduduki STAM, berbanding 4,634 orang calon pada tahun 2022,” ujarnya. – UTUSAN










