Periksa, tingkat tahap keselamatan bot penumpang

Periksa, tingkat tahap keselamatan bot penumpang

Keselamatan bot
AHLI keluarga mendapatkan maklumat daripada polis berkenaan operasi SAR bagi mencari pemancing yang masih belum ditemui di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di Kapar, Klang. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak berkuasa disaran meningkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pengusaha-pengusaha bot bagi memastikan tahap keselamatan pengangkutan itu berada dalam keadaan baik bagi kegunaan penumpang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Wan Ahmad berkata, pengusaha bot juga perlu memastikan penumpang mereka memakai jaket keselamatan pada setiap masa.

“Pengusaha bot juga wajib menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Saya juga menyeru pihak berkuasa agar memperketatkan penguatkuasaan dan memastikan semua pengusaha bot mempunyai lesen yang sah daripada pihak berkuasa berkaitan dan tidak beroperasi dalam cuaca buruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, dua daripada tujuh pemancing meninggal dunia selepas bot dinaiki mereka dipercayai bocor dan karam akibat dipukul ombak selepas memancing di perairan berhampiran Permatang Sedepa (One Fathom Bank), Klang pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, empat dijumpai selamat dalam keadaan lemah pada Selasa lalu oleh nelayan pukat tunda di perairan Sekinchan yang kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin.

Keempat-empat mereka kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting oleh ambulans dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini.

Wan Dazahanurin yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa atas musibah yang melanda khususnya kepada ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

“Sebagai salah seorang ADUN Selangor, saya turut dan berasa amat sedih dan simpati dengan kejadian ini.

“Akhir sekali, saya merakamkan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang meninggal dunia. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×