Syabu 10.5kg gagal diseludup dua lelaki ke Indonesia - Utusan Malaysia

Syabu 10.5kg gagal diseludup dua lelaki ke Indonesia

BUNGKUSAN berwarna coklat disyaki syabu yang diletakkan di dalam sebuah beg dan disembunyikan di ruang simpanan bot fiber.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kastam berjaya mematahkan cubaan dua lelaki menyeludup keluar 10.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu ke negara jiran dipercayai Indonesia menggunakan bot nelayan, baru-baru ini.

Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang menuju ke arah laut besar dari muara sungai Pasar Bisik di Kota Kuala Muda dipintas anggota Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai kira-kira pukul 10.20 malam, Rabu lalu.

“Kira-kira pukul 6.30 petang, hari sama pasukan kita mengesan sebuah bot nelayan jenis fiber tanpa nombor pendaftaran di muara sungai Pasar Bisik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas menunggu hampir empat jam, bot tersebut didatangi dua lelaki mencurigakan yang kemudian memandu bot itu ke arah laut besar sebelum pasukan serbuan bertindak memintas bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nor Izah berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun bertindak terjun ke muara sungai setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sebelum berjaya menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menjumpai 10 bungkusan berwarna coklat disyaki dadah jenis syabu yang diletakkan di dalam sebuah beg dan disembunyikan di ruang simpanan bot.

“Syabu yang ditemui dianggarkan bernilai RM347,000. Kita turut menyita bot berserta dua enjin Yamaha 250 kuasa kuda dengan nilai dianggarkan RM225,000,” ujarnya.

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan diteruskan bagi mengesan pemilik bot berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai beroperasi pada lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa untuk mengedar dadah ke negara jiran bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda berbanding pasaran tempatan.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, rampasan ini berjaya membanteras dadah berkenaan daripada terlepas kepada 100,000 penagih,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×