KUBANG PASU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC) Songkhla dalam usaha untuk mengekang rasuah melibatkan jenayah sempadan khususnya penyeludupan.
Menurut Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail, kerjasama itu antaranya melibatkan penyaluran maklumat antara kedua-dua pihak tersebut termasuk agensi penguatkuasa lain di sempadan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan polis.
“Hari ini kita mengadakan mesyuarat di Sadao dengan NACC Songkhla bersama pihak imigresen dan kastam. Banyak perkara yang dibincang tentang jenayah sempadan berkaitan rasuah.
“Kita ada kerjasama dengN NACC Songkhla sejak dahulu dan setiap tahun siadakan mesyuarat di Bukit Kayu Hitam atau di Thailand . Kita berharap untuk tingkatkan rangkaian kerjasama dengan Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Terdahulu SPRM dan NACC serta wakil daripada imigresen dan kastam Kedah turut serta dalam program Pencegahan Jenayah Rasuah Rentas Sempadan di sempadan Malaysia dan Thailand itu.
Mengulas lanjut kata Ahmad Nizam, keberkesanan kerjasama antara semua pihak terlibat diyakini dapat mengekang rasuah di sempadan kedua-dua negara itu.
“Kerjasama ini memudahkan kita untuk hapuskan jenayah rasuah rentas sempadan. Secara amnya kita lihat kebarangkalian (rasuah) boleh berlaku oleh itu kita cegah di peringkat awal. Kaedah yang kita buat di sini adalah agensi terlibat saling menyalurkan maklumat terkini dari Malaysia dan Thailand kerana kita tidak boleh bekerja sendirian,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya pada masa yang sama menawarkan ganjaran kepada orang awam atau penjawat awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah di sempadan itu.
Sementara itu, Pengarah NACC Songkhla, Ram Wasutanapinyo berkata, kolaborasi kedua-dua negara itu dianggap berkesan untuk mencegah jenayah sempadan.
“Rasuah ini juga menjadi fokus utama NACC Songkhla terutama melibatkan penyeludupan. Kita berharap masalah korupsi ini semakin berkurang dengan kerjasama ini.
“Lagipun satu lagi pintu masuk baharu akan dibuka pada tahun depan di Thailand dan 2026 di Malaysia, jadi kita perlu lebih banyak informasi untuk memastikan jenayah di sempadan yang melibatkan rasuah dapat dicegah,” katanya. -UTUSAN










