‘Pencerita yang hebat ialah seorang pemerhati yang mampu melihat setiap tersirat.’
Sharifah Amani baru berusia 17 tahun semasa bersetuju menghidupkan karakter Orked dalam Sepet yang kemudian mengubah jalur hidupnya. Setahun kemudian, dia menggenggam trofi pertamanya di festival berprestij negara. Terlalu cepat, terlalu muda dan terlalu magis jika dikenang-kenang bagaimana pengembaraan lakonannya bermula.
Tetapi gadis yang disapa sebagai Nani, 37, sudah diasuh, bahawa memakai gelaran pelakon bukan tentang populariti atau mengumpul koleksi anugerah. Namun tentang bagaimana menghidupkan kisah yang boleh menggugah, mengubah atau paling tidak menyentuh lapis perasaan manusiawi paling diam dan dalam.
Kata Nani, Yasmin Ahmad dalam hayatnya, memiliki magis itu. Daripada arwah, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 itu melihat bagaimana indahnya perempuan ditampilkan beragam sifat. Mereka kuat dan tetap memikat.
“Dalam layar, perempuan seperti hanya ada dua pilihan. Sama ada seorang adiwira ataupun sebagai mangsa. Sedangkan di antara pilihan itu, ada banyak warna daripada seorang wanita yang boleh dicerita.
“Tak semua perempuan perlu jadi superhero. Kita beragam. Kita melatah, kita bersuara, berkahwin, bercerai, mengandung juga keguguran. Setiap wanita melalui banyak perkara berbeza untuk kita saling belajar dan menyayangi. Itulah yang ada dalam filem Yasmin Ahmad.
“Seperti Kak Yam dalam Gubra, seorang yang sangat pemaaf. Tapi Orked di filem sama seorang pendendam kepada suami yang curang. Begitu juga setiap babak melatah dalam filem Mukhsin, ia spontan, semuanya tidak dipotong.
“Arwah nak tunjukkan bahawa manusia tidak sempurna. Kadang-kadang kita terlalu ingin mengejar blockbuster, ingin buat duit sampai kita lupa untuk benar-benar bercerita,” katanya.

SEDEKAD SEBUAH PERJUANGAN SUNYI
Hampir dua dekad sebagai pemain dan pencinta seni, anak kedua daripada empat beradik ini beranggapan wanita masih kurang diberikan peranan utama khususnya di filem-filem berbanding drama penstriman over-the-top.
“Perempuan di dalam filem memang ada perubahan, namun ia bermusim. Bila sudah selangkah ke depan, kita bagai 10 langkah mundur ke belakang. Sedangkan kita pernah ada Erma Fatimah yang mengarah Jimi Asmara pada usia 25 tahun atau Shuhaimi Baba semasa menawarkan Ringgit Kasorrga pada 1995.
“Semoga di masa mendatang kita dapat melihat perempuan juga diberikan watak sama penting dan mengetuai pengembaraan cerita. Bukan sekadar penyokong kepada watak lelaki semata-mata,” katanya.
Dekad terakhir ini, Nani mengakui banyak tenaga dan usaha sudah dilakukan untuk menyuarakan isu-isu berkaitan kesenian dan wanita. Sudah masanya gema itu disahut generasi seterusnya.
“Saya sudah gunakan kudrat saya untuk cuba mengubah sesuatu, mendapatkan sokongan dan kepercayaan. Percayalah, ia perjuangan yang sukar dan sunyi. Bila bertanya atau mempersoal sesuatu, kita dianggap biadab.
“Saya menyayangi penggiat industri lelaki, namun yang lantang bersuara selalunya wanita.
“Bayangkan, apabila tercetusnya sesuatu kontroversi, pelakon lelaki menerima ancaman. Tapi pelakon perempuan menerima ancaman bunuh. Namun, hari ini saya dapat melihat perlahan-lahan penggiat seni lelaki sudah mula lantang dan berani ke depan,” tambahnya.

LA LUNA DAN SEBUAH KONTROVERSI
Bukan kali pertama Sharifah Amani dilanda kontroversi. Kata-kata tajam dan dilabel menyebar fahaman itu dan ini sudah ditelannya sejak muda. Oleh itu, semasa kontroversi filem La Luna tular, Nani enggan melatah.
“Sepanjang saya berlakon, di sebalik kecaman yang diterima, pasti akan ada juga yang menyokong. Ada yang menangis, mengucap terima kasih kerana filem itu menyuarakan hati mereka.
“Kesan kontroversi lalu, sudah tentu saya ambil masa berdamai dengan trauma. Sebenarnya sebelum La Luna keluar, saya agak gementar. Saya tidak suka dengan perhatian yang tidak perlu. Saya cuma mahu bekerja sebagai pelakon yang membawakan naskhah menjentik persoalan dalam masyarakat.
“Saya fikirkan cerita ini akan dianggap santai kerana apa yang dibincangkan dalam La Luna memang wujud. Ia dipaparkan di akhbar hari-hari.
“Namun kecaman ini sifatnya datang dan pergi. Mungkin Allah mahu mengingatkan saya supaya sentiasa rendah diri,” jelasnya.

NYAWA LAIN DIKANDUNG BADAN
Menjalani hidup sebagai isteri kepada Ahmed Faris Amir dan bakal menimbang cahaya mata pertama adalah rezeki yang tidak pernah disangka.
“Ajaibnya macam mana cinta dan kasih sayang seorang suami boleh membuatkan saya ingin menjadi versi terbaik diri sendiri.
“Dia tidak peduli tentang populariti. Dia hanya mahu saya ke depan menjadi apa yang diinginkan. Dia tidak pernah rasa tercabar. Dia memasak, mengemas dan terbuka membahaskan apa sahaja,” ceritanya.
Merahsiakan usia kandungan, Nani berdoa agar anaknya dapat dilahirkan dalam keadaan baik dan mendapat kasih sayang yang sempurna.
“Kini, kami bakal menjadi ibu bapa. Pertama kali dengar bunyi jantung anak, doktor dan suami sudah teruja. Tapi saya ambil masa untuk proses perasaan. Sampai sahaja di rumah saya mengalirkan air mata memikirkan bagaimana hebatnya Allah meniupkan roh dan hayat kepada anak ini.
“Saya kini membawa nyawa yang lain di dalam tubuh. Hebatnya mama, dan semua perempuan yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk anak.
“Semoga Allah memberikan saya rezeki membesarkan anak ini dengan kudrat, harapan dan semangat yang penuh,” katanya menutup temu ramah. – UTUSAN










