Sektor kesihatan perlu pemimpin tulen, tingkat kualiti perkhidmatan - Utusan Malaysia

Sektor kesihatan perlu pemimpin tulen, tingkat kualiti perkhidmatan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) merasmikan penjenamaan Wad NICU Syed Sirajuddin Areeb Putra di Hospital Tawau di Sabah, semalam. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Sektor kesihatan memerlukan ramai pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan tulen supaya sentiasa memberi fokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara lain, ciri kepimpinan tersebut termasuk terbuka kepada pandangan membina dan mampu membuat perancangan hala tuju yang jelas untuk organisasi masing-masing.

Titah baginda, perkara itu perlu disebar luas kepada semua lapisan kakitangan serta anggota agar tiada yang tertinggal dan memiliki rasa kepunyaan yang tinggi terhadap organisasi masing-masing.

“Sistem pengurusan yang sistematik, efektif dan berintegriti amat diperlukan untuk menyokong kepada kepimpinan organisasi. Ia sangat diperlukan untuk memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“Setiap organisasi di industri kesihatan juga perlu memastikan pengurusan risiko diberi keutamaan supaya risiko dalaman dan luaran dapat ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan ia memberi impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kerajaan Negeri Perlis ke Hospital Tawau, Sabah.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Perubatan) Datuk Dr. Abd. Kahar Abd. Asis dan Pengarah Hospital Tawau, Dr. Norlimah Arsad dan timbalan beliau, Dr. Azman Ibrahim

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengadakan lawatan ke wad bersalin, wad kanak-kanak dan juga Unit Audiologi Tuanku Syed Putra di hospital itu.

Unit Audiologi Tuanku Syed Putra Hospital Tawau pada kali ini turut menerima sumbangan berupa satu unit katil bayi daripada Pengarah Urusan Econmas Sdn. Bhd, Datuk Rick Cheng Wooi Seong dan satu unit Visual Reinforcement Audiometry oleh Pengarah Eksekutif, DMIA Group, Datuk Seri Subramaniam Pillai.

Turut disumbangkan ialah 16 kotak ‘goodies bag’ daripada AEON BIG (M) Sdn.Bhd. yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed serta 31 bakul makanan daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia Perlis oleh Pengarahnya, Amran Mahadi.

Sebanyak 100 hamper turut disumbangkan kepada wad bersalin dan wad kanak-kanak daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazim Mohd Noor.

Kesemua sumbangan tersebut disampaikan melalui baginda oleh para penyumbang terdiri daripada syarikat swasta, agensi kerajaan negeri dan pusat kepada Hospital Tawau.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan penjenamaan Wad Neonatal Intensive Care Unit (NICU) Syed Sirajuddin Areeb Putra mengambil sempena nama anakanda bongsu baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya