SHAH ALAM: Sarawak dilapor menjadi negeri paling tinggi penduduknya mendaftar maklumat mereka dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) walaupun terdapat arahan penangguhan pendaftaran tersebut di sana baru-baru ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, arahan tersebut terhad kepada kakitangan kerajaan negeri bukan rakyat negeri itu secara keseluruhan berdasarkan memo Residensi Seri Aman yang tular baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan akan berbincang dengan Sarawak berkenaan arahan penangguhan tersebut pada minggu hadapan.
“Sarawak mencatatkan pendaftaran PADU paling tinggi. Arahan tersebut tidak menjejaskan pendaftaran rakyat Sarawak, cuma arahan kepada kakitangan kerajaan negeri untuk menangguhkan pendaftarannya. Keputusan dibuat selepas mesyuarat kabinet negeri diadakan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Townhall PADU, hari ini.
Terdahulu, tular laporan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat hi peribadi yang diminta diisi dalam sistem PADU.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberitahu perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu.
Jelasnya, ia bukan bermakna Sarawak tidak menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan, tetapi sekadar meminta PADU diteliti semula kerana terdapat maklumat peribadi yang tidak sepatutnya didedahkan.
Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan sistem PADU diterima pakai selepas ia dibentangkan kepada Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri sebelum dibuka kepada orang awam untuk mendaftar.
“Sebab itu ia diteruskan, dari segi tatakelola juga tertakluk kepada jawatankuasa tertinggi iaitu Majlis Data dan Statistik Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof, juga dari Sarawak.
“Oleh itu saya ingat ada beberapa pandangan dari anggota kabinet Sarawak yang diputuskan peringkat kabinet mereka yang menyebabkan arahan itu (pendaftaran PADU),” jelasnya.
Tambahnya lagi, bagaimanapun rakyat Sarawak secara individu boleh terus mendaftar ke portal PADU kerana tiada mana-mana undang-undang yang menghalang mereka berbuat demikian. – UTUSAN










