SAM 2024: Atlet USIM perlu kerja keras, perbaiki kedudukan

SAM 2024: Atlet USIM tunjuk peningkatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Persiapan dan latihan berstruktur lebih awal yang dilaksanakan oleh Pusat Tamhidi (Asasi), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Sukan USIM untuk atlet ke Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2024 berjaya meraih pencapaian membanggakan.

Berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah dari 1 hingga 3 Mac lalu, kontinjen USIM yang disertai 132 atlet dan 23 pegawai pengiring bertanding dalam 10 acara dalam edisi kali ini.

USIM berjaya membawa pulang lima pingat perak dan dua pingat gangsa untuk berada di ranking kesembilan keseluruhan dari 14 asasi universiti awam dan matrikulasi yang menyertai kejohanan.

Pingat perak disumbangkan daripada acara futsal, bola tampar (wanita), ping pong, badminton dan e-sukan, manakala pingat gangsa diraih daripada acara bola tampar (lelaki) dan catur (lelaki).

Kejohanan SAM merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam sejak 2018 dengan kejohanan kali ini Pusat Asasi Pengurusan UUM dipilih selaku tuan rumah SAM 2024.

Kejohanan sukan dianjurkan bertujuan menyediakan jaringan hubungan antara program-program asasi universiti awam serta menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukan, membentuk mahasiswa yang cerdas, cergas, berdaya saing, tahan lasak dan kreatif.

Ketua kontinjen USIM, Mohd Naqiudin Che Ibrahim menyifatkan pencapaian atlet Tamhidi dalam SAM kali ini adalah cemerlang.

“Walaupun tiada rezeki untuk menuai pingat emas, tetapi jumlah pungutan pingat kali ini amat baik berbanding tahun lalu. Terutamanya dalam acara yang memberi saingan sengit sejak awal di peringkat kumpulan lagi seperti futsal, bola tampar dan badminton.

“Pencapaian atlet kita di SAM secara langsung memberi harapan cerah untuk mereka lebih cemerlang dan menyinar apabila diserap sebagai atlet universiti di peringkat sarjana muda nanti.

“Ini juga satu prospek cerah kepada USIM untuk bersaing dalam acara sukan yang lebih kompetitif seperti di pertandingan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) kerana kita sudah  mengenal pasti ‘ubi muda’ lebih awal” tambahnya.

Sebelum bertandang ke UUM, satu majlis penyerahan bendera rasmi USIM kepada kontinjen Tamhidi ke SAM 2024 disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Adnan Mohamed Yusuff di Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Majlis penutup kejohanan SAM di Stadium Pusat Sukan UUM, semalam, dirasmikan oleh Tan Sri Wira Dr. Hj. Mohd Shukor Hj. Mahfar, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM.

Majlis turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis terkenal iaitu Ara Johari dan Akim Ahmad.

Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara keseluruhan dengan kutipan 17 pingat emas, enam pingat perak dan lima pingat gangsa.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diumumkan secara rasmi sebagai tuan rumah kejohanan SAM pada tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×