KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut bertujuan untuk mengawal selia kekebalan diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.
“RUU ini digubal oleh kerajaan untuk melindungi kekebalan negara dengan mengkanunkan undang-undang antarabangsa, menambah baik prosedur dan amalan sedia ada serta amalan terbaik antarabangsa.
“RUU ini juga memperuntukkan secara jelas konsep layanan salinan yang akan diamalkan, hal demikian kerana apa-apa kekebalan diberikan kepada sesuatu negara asing boleh ditarik balik sekiranya ia dibalas oleh negara asing tersebut,” katanya semasa sesi menggulung di Dewan Rakyat, semalam.
RUU yang pertama kali dibentang di Dewan Rakyat pada 20 November lalu itu dibahas oleh 11 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semalam dan diluluskan dengan suara majoriti.
Kelulusan RUU tersebut diumumkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.
Bagaimanapun, sesi penggulungan RUU tersebut menjadi kecoh selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan beberapa fasal yang terkandung di dalam RUU itu yang dianggap memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Fasal 32 dan 33 RUU itu yang dianggap memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri, perlu ditukar dengan meletakkan kuasa itu di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong
“Kita tidak tolak undang-undang itu, ia baik (dan) kami semua bersetuju tetapi pengecualian itu yang amat penting dan kritikal di sini. Itu menyebabkan kita tidak bersetuju dengan undang-undang yang (diluluskan) begitu sahaja.
“Kami merasakan ada ruang untuk menambah baik undang-undang ini dengan memberikan penambahan, pinda satu sahaja kita minta (iaitu) Perdana Menteri selepas berbincang atau berunding dengan Yang di-Pertuan Agong boleh beri pengecualian,” katanya semalam.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyatakan kebimbangannya sekiranya Perdana Menteri ‘dicubit’ oleh mana-mana pihak yang mempunyai kuasa lebih besar dan meminta pengecualian tersebut.
“Sebab itu, kita nak (kuasa pengecualian tersebut) diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, siapa sahaja yang setuju kalau satu hari nanti (negara) kena, dia (Ahli Parlimen yang bersetuju) dia bertanggungjawab,” tegasnya.
Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah melakukan perbandingan mengenai RUU tersebut yang turut dilaksanakan oleh negara-negara luar iaitu United Kingdom (UK), Australia dan Singapura.
Jelasnya, negara tersebut tidak memberikan kuasa pengecualian kepada Perdana Menteri mereka berbanding Malaysia. – UTUSAN










