SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membelanjakan RM30.2 juta bagi pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan di sepanjang kawasan sumber air serta sungai di negeri ini.
Jumlah itu direkodkan dalam tempoh enam tahun bermula 2018 sehingga tahun lalu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, perbelanjaan itu meliputi pengoperasian Skuad Pantas LUAS dan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK).
“Peningkatan perbelanjaan bermula pada 2021 itu susulan keperluan penyediaan peruntukan bagi operasi Skuad Pantas yang membuat rondaan 24 jam di lembangan sungai strategik.
“Selain peruntukan kos bagi OPAK di Bestari Jaya, ia melibatkan pembangunan stesen telemetri, perolehan peralatan pemantauan dan kerja penyelenggaraan infrastruktur sumber air,” katanya dalam sidang DUN Selangor semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Dr. Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengenai perbelanjaan LUAS dalam tempoh itu dan kaedah bagi memastikan keterjaminan bekalan sumber air bersih di Selangor.
Jelas Izham, empat empangan utama negeri berada pada paras 100 peratus iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.
“Dua lagi empangan melebihi kapasiti 90 peratus iaitu Empangan Sungai Langat dan Empangan Batu manakala Empangan Klang Gate pada paras 84 peratus.
“Semua empangan itu dilihat mampu membekalkan air selama enam bulan sekiranya tiada hujan,” ujarnya.
Tambah beliau, kesediaan bekalan air mentah turut dibantu menerusi 100 kolam takungan yang dapat dijadikan sumber air alternatif.
“Kolam itu mampu membekalkan air tambahan selama tiga bulan menerusi pengaliran secara graviti atau pam ke sungai yang muka sauk terletak di hilir.
“Kesimpulannya, Selangor mempunyai sumber air mencukupi,” katanya. – UTUSAN










