KUALA TERENGGANU: Seorang penulis mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama berenang tanpa henti dari Pulau Lang Tengah ke Pulau Perhentian Besar, Ahad lalu.
Ridzwan Rahim, 47, memulakan renangan sejauh 26.2 kilometer (km) itu pukul 9.30 pagi dalam masa 12 jam 25 minit 15 saat (s) untuk tiba di Pulau Perhentian pada pukul 9.55 malam diiringi dua bot dan kayak.
Menurut Ridzwan, renangan itu ialah renangan perintis ketiga selepas berenang sejauh 17km dari Pulau Perhentian dan Pulau Redang ke tanah besar Kuala Terengganu (25km) pada Mac 2021 serta Jun 2023.
Anak jati Kajang, Selangor itu memberitahu, ombak besar dan keadaan laut bergelora menjadi cabaran utama sepanjang renangan berkenaan selain turut disengat obor-obor sebanyak empat kali.
Ridzwan berkata, beliau juga terpaksa mengubah laluan asal dan melakukan renangan dengan jarak lebih jauh ekoran angin kencang dan mengambil kira aspek keselamatan pasukan pengiring.
“Laluan asal adalah dari Pulau Perhentian Besar ke Pulau Lang Tengah namun ditukar dan saya juga terpaksa berenang sejauh 26.2km walaupun jarak sebenar hanya 17km kerana keadaan laut.
“Cabaran paling besar adalah berdepan ombak setinggi 1.5 sehingga dua meter dan angin kencang mencecah 15 knot tetapi dengan kecekalan saya dapat menamatkan renangan,” katanya ditemui di sini, semalam.
Menurut Ridzwan yang bekerja sebagai penulis teknikal, beliau berhasrat menjadi perintis kluster renangan maraton baharu iaitu ‘Terengganu Four Swims’ membabitkan pulau peranginan di negeri itu.
Beliau memberitahu, Terengganu berpotensi menjadi laluan atau pusat renang bertaraf antarabangsa terutamanya perairan Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah.
“Saya harap usaha (renangan) ini dapat menarik minat lebih ramai perenang tegar dari seluruh dunia untuk turut sama merasai pengalaman merentasi pulau peranginan yang indah di Terengganu ini,” ujarnya. – UTUSAN










