KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki nyaris lemas apabila hanyut ke tengah laut sebelum diselamatkan nelayan di Pantai Pandak, Chendering kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa berusia 17 tahun itu datang ke kawasan berkenaan untuk mandi-manda bersama ahli keluarga dan datang bercuti dari Melaka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, mangsa berjaya diselamatkan nelayan yang kebetulan berada di kawasan sekitar itu.
“Keluarga itu dikatakan sedang dalam percutian bercuti ke negeri ini dari Melaka dan datang ke Pantai Pandak untuk bermandi-manda.
“Mangsa kemudian ditarik ombak ke tengah laut namun tindakan pantas nelayan yang kebetulan ada di lokasi menyelamatkan remaja tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Rozizah menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati untuk melakukan aktiviti di air memandangkan cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu.
Beliau berkata, bahaya dan risiko kejadian lemas boleh menimpa pengunjung yang leka termasuk di kawasan pantai, sungai atau tempat rekreasi.
“Tiga bulan pertama tahun ini sahaja tujuh kes kematian lemas direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi tumpuan seluruh negeri,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 66 saat rakaman orang awam menunjukkan seorang remaja terkapai-kapai di tengah laut dipercayai ditarik ombak kuat.
Menerusi video itu juga memaparkan mangsa dikatakan sempat berpaut kepada pelampung yang dilempar sebelum diselamatkan bot nelayan. – UTUSAN










