Relevansi AJL raih perdebatan industri seni - Utusan Malaysia

Relevansi AJL raih perdebatan industri seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 38 dibuka pun sudah muncul segelintir pemain industri seni yang lantang berkokok. Seiring evolusi muzik dan pergerakan industri seni, adakah AJL masih relevan?

Sila baca dan hadam dari sudut positif. Bukan mahu memenangkan mana-mana pandangan tetapi pelbagai pendapat lain yang terzahir daripada penggerak industri seni turut menyumbang kepada perbincangan ini.

Di mana dan ke mana arah tuju AJL sebenarnya? Satu penganjuran berprestij yang seharusnya mengangkat komposer, penulis lirik dan penyanyi tempatan ke satu peringkat yang lebih tinggi serta hebat.

Namun sejak beberapa tahun ini, sudah mula wujud pertikaian yang tidak hanya tertakluk kepada edisi-edisi baharu. Pelbagai dakwaan dibuat mengaitkan tangan-tangan ghaib, pertukaran keputusan dan ketelusan AJL itu sendiri.

Itu mungkin hanya satu dakwaan tetapi di kala dunia berputar menerusi media sosial, kita harus lihat dari sudut impak yang lebih besar. Jika dibiarkan tanpa jawapan, maka satu hari nanti tidak mustahil, AJL mungkin tidak lagi relevan.

Malah tindakan beberapa artis sudah mula ‘berani’ menarik diri daripada bertanding di pentas itu sendiri membawa kita ke satu persoalan. Apakah trofi AJL itu bukan sesuatu yang didambakan penggiat seni?

Tetapi tidak adil jika kita pukul rata semua. AJL kini dilihat sebagai satu pentas mengangkat komposer dan penyanyi baharu yang sama berjuang dengan generasi terdahulu. Lihat sahaja edisi beberapa tahun lepas.

Ramai komposer, penulis lirik dan penyanyi baharu yang mempertaruhkan karya masing-masing. Menang kalah, itu hal kedua. Yang penting, mereka berjaya ke platform terbaik pertandingan lagu itu.

Biarpun ada juga beberapa lagu yang mungkin bukan mesra peminat atau mungkin tidak pernah didengar secara mainstream tetapi sudah namanya pertandingan, sudah tentu penjurian, minat dan markah itu sangat subjektif. 

Tambahan pula isu ketidakadilan pembayaran, penarikan diri secara tiba-tiba dan kemelut dengan beberapa syarikat pengurusan dan rakaman serta persatuan muzik tempatan juga menambah rencah dalam drama AJL tahun ini.

Maka mudik semula kita ke awal persoalan, apakah AJL satu hari nanti akan dilihat sebagai satu pertandingan lagu semata-mata tanpa agenda memartabat, menaikkan dan menjulang karya tempatan ke peringkat lebih tinggi? Nilaikan sendiri.

AJL TANPA GAGAL PERJUANG KARYA TEMPATAN

Sudah semestinya, pemilihan tiga lagu sebagai pembuka tirai AJL38 menjadi pertikaian. Mengapa dua lagu antarabangsa menjadi pilihan? Mengapa lagu yang bukan juara juga dipersembahkan?

Apakah team produksi sudah hilang idea selepas 38 tahun penganjuran? Atau bertepatan dengan tema Muzikaverse, lagu-lagu mewakili dunia muzik diangkat dan dipersembahkan di pentas pembukaan?

Penerbit Eksekutif AJL38, Shazreena Kassim berkata, tahun ini penganjuran pertandingan itu membawa tema dunia muzik maka bertepatan dengan konsep tersebut, mereka memilih lagu antarabangsa yang dipersembahkan oleh penyanyi lokal.

“Setiap tahun, tema dan konsep AJL adalah sesuatu yang sukar dibincangkan. Bersesuaian dengan Muzikaverse, kita tampilkan sesuatu yang berbeza namun dalam masa sama tetap ada suntikan tempatan.

“Dna AJL masih sama, komposer dan penulis lirik harus anak Malaysia. Tetapi untuk persembahan pembukaan dan interlude, kami terbuka dengan sebarang kerjasama tidak kira luar atau dalam negara,” ujarnya.

Malah seiring dengan perubahan dunia muzik, Shazreena tidak menafikan perdebatan atau perbincangan yang berlaku tentang AJL adalah sesuatu yang lumrah dan tidak menjadi satu masalah.

“Sebagai satu-satunya penganjur yang tanpa gagal mempertandingkan karya tempatan, saya rasa sebarang perdebatan dan perbincangan itu lumrah. Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak.

“Sesebuah penganjuran seperti ini menelan belanja yang sangat besar. AJL38 sendiri memerlukan hampir RM4 juta untuk menampung kos tenaga kerja, persiapan dan persembahan itu sendiri.

“Kami sebagai satu syarikat televisyen komersial akan terus menganjurkan AJL dengan sokongan semua pihak dalam industri seni. Lihat ini sebagai satu usaha positif dan kami terbuka untuk berbincang demi penambaikan,” ujarnya.

Tiada istilah beri kemenangan awal

Sedia maklum mengenai perdebatan ramai termasuk kalangan artis yang menuduh juri ‘main kotor’ dengan meletakkan kemenangan awal kepada peserta AJL, Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail, tampil memberikan jawapan.

Menurut Mokhzani, tidak mudah untuk mengupas inti dan kualiti yang dimiliki 12 buah lagu yang terpilih masuk ke pentas AJL memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. 

Bagaimanapun, untuk menuduh juri telah lebih dahulu membuat pilihan lagu mana yang menang adalah dakwaan tidak benar. 

“Selalunya semasa sesi pra-dengar, saya akan minta semua juri terlibat untuk kaji pelbagai aspek lagu yang bertanding. 

“Situasi itu sukar dan kita tak boleh menjurikan terlalu awal kerana kadangkala ada gubahan yang dibuat pada melodi dan vokal semasa persembahan live dilakukan. 

“Menerusi audio asal yang didengar adalah lain, menerusi persembahan live lain kerana adakala penyanyi juga menggantikan posisi mereka dengan penyanyi lain. 

“Itu semua diambil kira tetapi tidaklah sampai gagalkan lagu itu kerana melodi biasanya masih sama,” katanya.

Selain itu, ditanya adakah penyanyi yang tidak mempunyai vokal tinggi tidak berpeluang untuk meraih kategori Vokal Terbaik, kata Mokhzani, pemahaman itu harus diperbetulkan. 

Katanya, kategori Vokal Terbaik termasuk Persembahan Terbaik sebenarnya satu tambahan sahaja dalam AJL.

“Kita akan beri markah dengan melihat corak pada komposisi lagu. Kadangkala penyanyi itu tahu sampai had mana dia boleh bawa suaranya.

“Contoh seperti Amir Jahari, dia tak perlu pun melontarkan vokal tinggi kerana lagu Hasrat nyanyiannya itu sudah sangat bersesuaian dengan suaranya. 

“Sebuah persembahan yang ringkas, tenang dan berkualiti bagi saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mokhzani turut memberi teguran kepada beberapa penyanyi yang mengubah lagu mereka sehingga hilang keaslian dan disifatkan sebagai berlebihan atau overdo.

“Saya ingin beri teguran kepada pengubahan yang ‘overdo’ disebabkan ingin tampilkan kelainan. Ada yang buat gubahan terlalu advanced sehingga hilang keaslian melodi lagu tersebut.

“Kami yang berada di kerusi juri berharap penyanyi tidak membuat perubahan yang terlalu ketara. Sesetengah penyanyi menyanyi bagus tetapi terlalu overdo. Tidak konsisten,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN