JOHOR BAHRU: Sempena kehadiran bulan Ramadan tahun ini, seorang ahli perniagaan bukan Islam, Dr. Gary Ko mengambil inisiatif menyumbang sebanyak 150 kilogram (kg) makanan laut kepada masyarakat kurang berkemampuan.
Dia merupakan seorang pembekal makanan laut dan sejuk beku menyampaikan sumbangan tersebut kepada penduduk daif di projek perumahan rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini yang terdiri daripada golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, inisiatif itu diambil bagi berkongsi rezeki sempena Ramadan selain membantu meringankan beban golongan terbabit dalam mendapatkan bahan mentah tersebut.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai seorang pakar dermatologi di Bangkok, Thailand, namun ambil keputusan kembali ke tanah air pada Disember 2019 ekoran penularan Covid-19.
“Tuhan membuka hati saya untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat tempatan ketika tempoh getir berkenaan. Saya meninggalkan bidang profesional dan memulakan perusahaan memborong ikan bersama keluarga,” katanya selepas menyampaikan sumbangan ikan kepada 12 keluarga di GM Seafood, Taman Mount Austin, di sini hari ini.
Antara ikan yang disumbangkan ialah selar kuning, kembong, cencaru, kerisik, sotong, udang dan lala.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Kamsiah Mostari, 64, terharu dengan sumbangan itu kerana dapat menyediakan juadah ikan buat ahli keluarganya sempena Ramadan ini.
“Saya sudah beberapa bulan tidak membeli ikan untuk dimakan di rumah kerana harganya semakin mahal. Alhamdulillah ada pihak yang mahu menyumbangkan ikan, pada awalnya rasa tidak percaya juga,” katanya. –UTUSAN










