KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.
Kebenaran itu diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam yang mewakili Peguam Negara di sini hari ini.
“Permohonan dibenarkan. Perintah adalah sebagaimana dimohon,” ujar hakim itu. Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes hina mahkamah itu pada 23 April ini.
Mustaffa ketika ditemui media memberitahu pihak pendakwaan diberikan masa lapan hari untuk menyerahkan kertas kausa berkaitan prosiding tersebut kepada responden (Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil) bagi memberi peluang kepada mereka untuk untuk memfailkan afidavit jawapan.
Pada 28 Disember 2023, pendakwaan memfailkan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) memohon Isham dipenjara atau didendan kerana menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.
Rakaman temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman media sosial facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.
Menurut afidavit yang difailkan, Isham telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.
Satu laporan polis berhubung temu bual tersebut juga telah dibuat pada 6 Oktober 2023.
Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.
Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama antara lain telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan menggambarkan panel hakim yang mendengar telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.
Rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Isham dalam temu bual sama turut menyatakan hakim bicara bagi kes SRC International iaitu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah bertindak secara berat sebelah ketika mendengar kes itu.
Menurut afidavit itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat Isham pada temu bual itu mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai gangguan ke atas pentadbiran keadilan.
Selain memohon Isham dikenakan hukuman penjara atau denda, Peguam Negara turut memohon perintah-perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan kos yang akan ditaksirkan kemudian. – UTUSAN










