PETALING JAYA: Badan kehakiman Malaysia perlu mempertimbangkan proses timbang tara dan mediasi sebagai alternatif penyelesaian kes untuk menangani 108,903 kes sivil tertunggak sejak 2019.
Menerusi proses tersebut, ia dapat mengurangkan 50 peratus perbelanjaan kerajaan ke atas mahkamah dan plaintif atau defendan mampu mencapai situasi menang-menang menerusi penyelesaian secara sukarela.
Buat masa kini, proses timbang tara dan mediasi di negara ini masih belum diperluaskan dalam sistem kehakiman, meskipun dapat membantu menjimatkan kos dan menyelesaikan masalah kes sivil tertunggak.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Prof. Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berkata, Malaysia masih ketinggalan dalam melaksanakan proses penyelesaian tanpa perbicaraan penuh berbanding Singapura yang mempunyai sebuah pusat timbang tara dan inisiatif untuk menggerakan amalan tersebut.
Katanya, konsep tersebut mampu menyelesaikan masalah kes tertunggak tanpa dibawa melalui proses perbicaraan panjang.
“Konsep ini belum diguna pakai di kebanyakan negara. Ia pernah diuji di mahkamah syariah kerana ia membantu menyelesaikan kes tertunggak dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam pengurusan mahkamah serta boleh menyediakan kos pada jumlah berpatutan.
“Misalnya jika plaintif tidak boleh mendapatkan penghakiman sewajarnya, maka dicadangkan konsep timbang tara mampu milik dengan persetujuan pihak dan mahkamah akan menyegerakan perbicaraan dan penghakiman. Ini akan menyelesaikan tunggakan kes dengan cepat.
“Malah ia juga akan mengurangkan perbelanjaan awam untuk kos yang timbul daripada tekanan kaedah litigasi. Ia berjaya mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus kos perbelanjaan kerajaan ke atas mahkamah berhubung dengan kes-kes sivil dan komersial,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan jumlah 108,903 kes sivil tertunggak dalam tempoh lima tahun sejak 2019 membabitkan di 10 negeri sekali gus menjejaskan proses mendapatkan keadilan kepada kedua-dua belah pihak yang terbabit dalam sesuatu pertikaian.
Kegagalan menyelesaikan kes tertunggak menyebabkan keadilan yang sepatutnya diperoleh oleh semua pihak tidak dapat dilaksanakan, sekali gus menjadi beban kepada plantif dan defendan.
Berdasarkan pecahan kes tertunggak mengikut negeri Kuala Lumpur mencatatkan kes tertunggak tertinggi iaitu 30,413 kes. Selangor sebanyak 22,849 kes , Johor (12,237); Pulau Pinang (9,946); Perak (7,130); Kedah (6,704); Sabah (5,152); Sarawak (4,985); Negeri Sembilan (4,827) dan Kelantan (4,660).
Kes-kes sivil di negara ini biasanya membabitkan saman malu, pertikaian mengenai perceraian bukan Islam, tuntutan harta pusaka, tuntutan hutang dan isu-isu melanggar kontrak sesuatu perjanjian.
Hamid Sultan yang merupakan pensyarah arbitasi Universiti MAHSA berkata, sudah tiba masanya untuk semua negara yang telah menerima penyelesaian kes tertunggak menerusi kaedah timbang tara dan mediasi dengan menerapkan pendidikan arbitrasi di universiti.
Katanya, tidak ramai graduan universiti yang mempunyai kemahiran arbitrasi sekali gus menyebabkan permintaannya tinggi khususnya penimbang tara bertauliah sekali gus menjadi punca kos ia meningkat.
“Justeru itu saya melihat kerajaan diminta menggunapakai Undang-undang Model 1985 untuk menyediakan platform timbang tara mampu milik untuk perkara yang difailkan di mahkamah melalui konsep University cum Court Annexed Arbitration.
“Konsep ini ialah penyelesaian tunggakan melalui timbang tara jika tiada kejayaan dalam penghakiman ingkar dan penghakiman terus. Ia boleh diuji dengan mudah oleh projek perintis dengan pihak yang bersetuju di mahkamah rendah,” katanya,
Katanya, timbang tara itu akan disemak dan diakui oleh seorang daripada mana-mana hakim Persekutuan.
“Sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan mengambil langkah yang perlu untuk melaksanakan konsep yang akan membantu golongan miskin, memerlukan dan tertindas untuk mendapatkan akses kepada keadilan pada kos yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN










