PRN Sabah dijangka lebih banyak penjuru

PRN Sabah dijangka lebih banyak penjuru

PARTI utama tampil 327 calon untuk rebut 73 DUN, lebih 40 peratus muka baharu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang menyaksikan persaingan lebih banyak penjuru bagi memberi saingan sengit kepada gabungan Warisan-BN dan GRS-PH plus yang dilihat lebih dominan.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memberi bayangan akan terus menerajui kerajaan Sabah pada PRN nanti.

Penganalisis politik, Datuk Dr. Jeniri Amir tidak menafikan akan berlaku pertandingan lebih dua penjuru pada PRN Sabah akan datang.

Katanya, pertembungan antara Warisan-BN dan GRS-PH plus adalah lebih dominan walaupun akan berlaku pertandingan lebih dua penjuru, namun ia dilihat tidak memberi kesan yang banyak kepada parti tersebut.

“Biarpun berlaku lebih dua penjuru dalam PRN Sabah tetapi yang menjadi keutamaan adalah gabungan Warisan-BN menentang GRS yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya yakin kepemimpinan Hajiji akan terus didukung oleh rakyat Sabah kerana perjuangannya yang mengutamakan kepen­tingan Sabah tanpa mengabaikan aspirasi nasional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu dilaporkan, Presi­den Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menjangkakan akan berlaku pertandingan lebih dua penjuru dalam PRN Sabah yang mungkin berlangsung tahun ini atau tahun depan.

Menurut Jeniri, sebarang keputusan pada PRN Sabah tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada.

“Siapapun yang akan menang nanti mereka akan menyokong Kerajaan Perpaduan. Saya yakin kerajaan perpaduan akan terus bertahan sampai akhir penggal walau apa pun keputusan di Sabah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir turut sependapat, PRN Sabah kali ini akan melihat pertandingan lebih banyak penjuru.

“Kalau kita lihat keadaan politik semasa memang akan wujud lebih banyak penjuru di Sabah ketika PRN nanti.

“PRN Sabah sukar dijangkakan kerana di saat akhir mereka akan ada yang mewujudkan parti baharu. Macam kita lihat, sudah mempunyai gabungan-gabungan parti politik untuk PRN nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN