Polis minta pemandu kereta dibaling batu buat laporan - Utusan Malaysia

Polis minta pemandu kereta dibaling batu buat laporan

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan seketul batu dilemparkan ke arah kereta pengguna lebuh raya di Kampar. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis meminta pemandu yang menjadi mangsa kenderaan dibaling batu sehingga cermin hadapan kenderaannya retak yang tular di media sosial supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan rakaman video kejadian itu berlaku di Kilometer 311 hingga 310, Lebuh Raya Utara – Selatan arah Utara Kampar dekat sini pada pukul 6.36 petang, 22 Mac lalu.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak telah mengesan hantaran mengenai kejadian itu dan telah mendapat perhatian serta kebimbangan warga maya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, hasil semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dilakukan sehingga kini,” katanya di sini, hari ini.

Katanya lagi, pemandu terlibat dinasihatkan segera membuat laporan di balai polis terdekat supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Katanya, pihaknya akan memastikan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengesan pelaku bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat yang dipaparkan menerusi kamera papan pemuka kenderaan yang dipandu mangsa menunjukkan batu yang dilempar dari arah bawah jalan mengenai kereta berkenaan sehingga cermin hadapan kereta itu retak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini