KUALA LUMPUR: Kira-kira 10 unit premis yang menawarkan perkhidmatan urut di sekitar Bukit Bintang digempur Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman semalam.
Menerusi serbuan kira-kira pukul 3 pagi dilakukan Bukit Aman bersama JSJ Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyasarkan kedai urutan reflexologi dalam kalangan warga asing serta disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman memaklumkan, seramai 10 penjaga premis dan 71 tukang urut ditahan dalam serbuan mengejut di sekitar Jalan Changkat dan Jalan Bukit Bintang itu.
Dalam operasi tersebut, seramai 48 wanita warga asing dan 21 lelaki warga asing yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut.
“Turut ditahan 10 pengurus atau penjaga premis berkenaan yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan tiga wanita warga asing.
“Kesemua premis ini didapati melakukan kesalahan menggajikan wanita dan lelaki warga asing tanpa sebarang permit sah yang dikesan berdiri di hadapan pintu premis sambil menawarkan khidmat urut kepada orang ramai dan pelancong asing yang lalu di hadapan premis,” katanya di sini.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati lapan premis urutan ini beroperasi tanpa sebarang lesen perniagaan yang sah.
JSJ berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bahawa pekerja urutan wanita warga asing yang berpakaian seksi turut menawarkan khidmat aktiviti tidak bermoral kepada pelanggan lelaki.
“Siasatan mendapati aktiviti urutan yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 4 pagi setiap hari ini menawarkan pakej urutan kaki dan badan dengan kadar bayaran RM60 hingga RM105 bagi setiap jam dan tambahan caj tertenti bergantung atas permintaan pelanggan.
“Selain itu kebanyakan tukang urut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri semasa diperiksa malah ada juga wanita warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang urut,” jelasnya.
Dalam operasi berkenaan, pihak polis turut memeriksa 10 pelanggan terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan serta lelaki warga asing.
Selain itu, wang tunai sebanyak RM3,979, video rekorder CCTV, modem wifi, kertas jadual kerja tukang urut, risalah iklan, buku catatan hasil, minyak urut, tuala, tisu dan salinan lesen perniagaan turut dirampas.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen dam Seksyen 3 (1) Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016,” katanya. – UTUSAN










