Perlombongan NRREE tidak jejas Lenggong Geopark - Utusan Malaysia

Perlombongan NRREE tidak jejas Lenggong Geopark

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, Lenggong hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) di kawasan Hulu Perak tidak menjejaskan status Lenggong Geopark, jelas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Tidak. Sebab di luar kawasan Lenggong Geopark,” kata menteri itu ketika ditanya pemberita selepas selesai Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis tersebut dan mengisytiharkan pemasyhuran Lenggong Geopark serta merasmikan Galeri Lenggong Geopark.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membincangkan tentang NRREE.

Beliau memaklumkan pertemuan itu juga boleh membincangkan tentang syor yang dibuat oleh Ahli Parlimen supaya menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka industri unsur nadir bumi di negara ini.

“Untuk kita lihat satu perbincangan model perniagaan dari peringkat huluan sehingga ke hiliran tentang soal perlombongan NRREE.

“Kita akan bergerak mengikut kerangka Perlembagaan yang sedia ada. Tapi itu tidak menghalang kita, misalnya mengenai cadangan mewujudkan GLC dan sebagainya. Kita akan tengok apa cara terbaik,” katanya.

Katanya, ini supaya industri NRREE boleh dirancakkan kerana beliau percaya, jika hanya ditentukan oleh pasaran ia mungkin tidak dapat pergi jauh memandangkan bidang tersebut adalah unik dan strategik.

Ditanya jika akan wujud konflik antara GLC milik kerajaan Pusat dan negeri, beliau berkata, hal itu berbalik kepada Perlembagaan tentang hak serta kuasa kedua-dua pihak.

“Ada peranan kerajaan Persekutuan dari segi eksport dan nilai tambah dalam industri. Tetapi dalam soal mineral dan sebagainya, itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Pertemuan akan membincangkan keseluruhan tentang industri ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN