IPOH: Jika semua berjalan lancar, Perak FC akan mendapat khidmat seorang pemain Oppa dari Korea dan seorang pemain Brazil bagi menghadapi kempen Liga-M musim ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kedua-dua pemain iaitu Lee Tae Min dan Luiz Motta kini sudah berada di Ipoh.
“Mereka sudah sampai dan sedang menjalani pemerikssan kesihatan. Kalau semua okey, baru kita tandatangani mereka, “katanya.
Menurut Mohd Azim, Tae Min seorang pemain sayap berusia 21 tahun manakala Motta, 27, pemain pertahanan tengah.
Jika kedua-dua pemain itu menyertai pasukan, bererti Perak akan mengguna khidmat tujuh pemain import musim ini.
Setakat ini Bos Gaurus mempunyai khidmat Sunday Afolabi, Luka Milunovic, Jasper Nyholm dan Luciano Guaycochea serta kapten B-23 Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.
Manakala Tommy Mawat Bada (Negeri Sembilan); Ariff Ar-Rasyid Ariffin (Kelantan United); Mohamad Ramadhan Ab Hamid (PDRM FC) dan Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC) adalah pemain tempatan baharu menyertai pasukan The Bos Gaurus.
Pasukan Kejor Yob Kejor mengekalkan Wan Zack Haikal serta menerima kembali Mohd Firdaus Saiyadi dari Kuala Lumpur. – UTUSAN










