Penuaan tingkatkan risiko sarcopenia

Penuaan tingkatkan risiko sarcopenia

NORAIDA OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penuaan menjadi faktor utama berlakunya peningkatan risiko sarcopenia (kehilangan otot disebabkan penuaan) sehingga menyebabkan penurunan kadar metabolik terutama dalam kalangan warga emas.

Pensyarah Kanan, Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Noraida Omar berkata, perubahan hormon, penurunan aktiviti fizikal, gaya hidup sedentari (banyak lakukan kerja sambil duduk) dan pemakanan tidak sihat juga mendorong kepada proses penuaan.

Katanya, gaya hidup sedentari dan tidak aktif memburukkan lagi sarcopenia dan menyumbang kepada pengecilan otot serta penurunan fungsi.

“Risiko penambahan berat badan disebabkan oleh penurunan kadar metabolik yang berkaitan dengan usia dan kehilangan otot boleh mempercepatkan kelemahan fizikal serta kekurangan kapasiti untuk menjalankan aktiviti fizikal harian.

“Secara global, satu daripada 10 warga emas mengalami obesiti sarcopenik yang memberikan kesan kepada disfungsi metabolik dan kardiovaskular. 

“Ia memberi dua kali ganda risiko kelemahan dan kecacatan berbanding individu tua yang hanya mengalami obesiti atau sarcopenia sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun dan ke atas berisiko menghidap penyakit sarcopenia atau kehilangan jisim otot badan sehingga menjejaskan tahap kekuatan badan, kesihatan dan kualiti hidup mereka menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Noraida berkata, pemakanan memainkan peranan dalam mengurangkan risiko masalah kesihatan, sindrom geriatrik atau sesetengah masalah kesihatan yang mungkin mempengaruhi keperluan pemakanan.

Katanya, amalan gaya hidup sihat seperti melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan senaman serta mengurangkan aktiviti sedentari juga merupakan kaedah untuk mencegah sarcopenia.

“Pemilihan makanan yang sihat dan seimbang daripada setiap kumpulan makanan mengikut piramid makanan Malaysia secara mencukupi. 

“Utamakan makanan padat nutrien dan elakkan makanan yang tinggi dengan kandungan lemak, gula tambahan dan garam seperti makanan yang diproses dan makanan ultra diproses.

“Lakukan aktiviti atau senaman untuk mengekalkan dan meningkatkan kekuatan serta daya tahan otot seperti regangan, angkat berat, squat (mencangkung), yoga dan taici sekurang-kurangnya dua kali seminggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN