Penjawat awam Selangor terima ‘duit raya’ sebulan gaji - Utusan Malaysia

Penjawat awam Selangor terima ‘duit raya’ sebulan gaji

Penjawat awam Selangor
AMIRUDIN Shari bergambar bersama penjawat awam pada Majlis Mahabah Ramadan Madani Menteri Besar Selangor bersama Penjawat Awam Negeri dekat Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor hari ini.  UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 20,000 penjawat awam Selangor yang dibiayai kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menerima ‘duit raya’ sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 sempena sambutan Aidilfitri pada bulan hadapan.

Sementara guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) seramai kira-kira 7,000 orang pula masing-masing menerima insentif sebanyak RM500.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Insentif menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK) itu melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM45 juta yang akan dibayar pada 8 April.

Menurutnya, pemberian insentif tersebut sebagai menghargai usaha kumpulan itu selepas kutipan hasil negeri dilaporkan berada pada landasan yang betul.

“Semalam saya periksa kutipan hasil negeri. Setakat ini, kita (kerajaan negeri) sudah berjaya mengutip RM700 juta.

“Jadi, saya optimis kerajaan negeri boleh capai kutipan hasil yang disasarkan pada tahun ini, iaitu sebanyak RM2.2 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Mahabah Ramadan Madani Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Negeri, hari ini.

Beliau menambah, kumpulan pemimpin masyarat iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan perkampungan kampung baru/bagan/tersusun, ketua komuniti India, penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor akan menerima elaun sebulan.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan hasil kerajaan negeri sehingga 8 Mac lalu berjaya memperoleh RM618.35 juta iaitu 28.11 peratus daripada sasaran berjumlah RM2.2 bilion yang ditetapkan pada tahun ini.

“Bagi keseluruhan tahun lalu, kerajaan negeri, hasil daripada kerjasama dan komitmen seluruh pasukan dan anggota pentadbiran awam, kita berjaya memperolehi hasil sebanyak RM2.708.33 billion, iaitu 135.44% lebih daripada sasaran awal sebanyak RM2 billion pada tahun 2023.

“Waima demikian, sekiranya komitmen dan kebolehupayaan memikir di luar kerangka biasa, saya yakin kita dapat melangkaui sasaran awal dan mungkin mencecah sehingga RM2.5 billion dan lebih,” jelasnya.

Katanya lagi, rizab kerajaan negeri bagi tempoh sehingga 8 Mac lalu turut mencatatkan peningkatan iaitu RM3.894 bilion berbanding tempoh sama RM3.710 billion pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×