PETALING JAYA: Langkah Kementerian Pendidikan menetapkan markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dalam peratusan lebih memudahkan golongan ibu bapa memahami tahap pendidikan anak-anak mereka.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ia juga dapat membantu ibu bapa mendorong anak-anak mereka belajar lebih keras bagi meningkatkan markah.
“Selain itu, saya percaya penyelarasan kurikulum itu telah dilakukan oleh guru sejak sekian lama, cuma kali ini dikemaskinikan supaya betul-betul mengkut kehendak kurikulum,” katanya ketika dihubungi semalam..
Pada masa sama, beliau berkata, guru besar juga perlu memainkan peranan penting dalam merealisasikan empat intervensi yang dirancang kementerian.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam mengumumkan, pelaporan tahap penguasaan UASA bagi semua mata pelajaran murid di sekolah rendah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred bermula tahun ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad berkata, empat inisiatif intervensi tersebut perlu disambut baik walaupun pengumumannya dilihat agak terlewat.
“Inisiatif pengesanan awal kemahiran literasi dan numerasi merupakan satu intervensi baik bagi memastikan tiada lagi murid-murid ‘terlepas pandang’ dan akhirnya mereka terus keciciran kemahiran 3M di peringkat sekolah menengah.
“Pada masa sama, penambahbaikan pelaksanaan Penilaian Berasaskan Bilik Darjah dan UASA supaya lebih mesra ibu bapa juga adalah intervensi yang baik dan tepat.
“Ini sangat perlu dilakukan kerana konsep PBD yang diamalkan sebelum ini didapati bercelaru, tidak konsisten dan sukar difahami sehingga terdapat rungutan dalam kalangan ibubapa yang mahu membantu pembelajaran anak-anak mereka di rumah,” katanya. – UTUSAN










