KULIM: Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) mengesan taktik terbaru menjual makanan kepada kaki ponteng puasa di daerah ini apabila menggunakan penjual bukan Islam untuk melakukan kegiatan itu.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira yang mencurigakan di belakang sebuah restoran ketika meronda di sekitar pekan Padang Serai.
“Dalam masa sama, tiga buah motosikal dinaiki empat lelaki secara tiba-tiba memecut laju meninggalkan kereta itu ketika kenderaan PADK menghampiri mereka.
“Pemandu kereta itu tidak sempat melarikan diri dan pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan nasi di bonet kereta yang tidak sempat dijual kepada pelanggan,” katanya di sini, hari ini.
Ujarnya, soal siasat mendapati pemandu kereta Proton Wira itu bukan beragama Islam dan dia mengaku hanya menjual makanan daripada seorang penjual yang beragama islam.
“Disebabkan lelaki itu bukan beragama Islam, kami tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar Sharifudin berkata, ketika rondaan di pekan Kulim pula, pihaknya menemukan seorang individu yang sedang menunggu di dalam keretanya di belakang sebuah restoran nasi kandar.
“Pemerhatian mendapati terdapat seorang pekerja restoran itu sedang membawa bungkusan beg plastik hitam dipercayai nasi untuk diserahkan kepada pemandu kereta terbabit.
“Belum sempat pekerja itu menghulur bungkusan kepada pemandu melalui tingkap, kereta terbabit dipecut laju selepas menyedari kehadiran kenderaan PADK,” katanya. -UTUSAN










