Peniaga barangan beku ditahan miliki mercun, bunga api bernilai RM8,000 - Utusan Malaysia

Peniaga barangan beku ditahan miliki mercun, bunga api bernilai RM8,000

ANTARA mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang dirampas di sebuah rumah sekitar Taman Guar Gajah, Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang peniaga barangan beku ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran dianggarkan bernilai RM8,000 di sebuah rumah sekitar Taman Guar Gajah, Jalan Padang Nyu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, menerusi Op Kontraban/Hambat sekitar pukul 5.30 petang itu, sepasukan anggota telah melakukan pemeriksaan di rumah terbabit selepas memperkenalkan diri kepada seorang lelaki yang berada hadapan kediaman tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api berada di bahagian ruang tamu.

“Polis kemudiannya bertindak menahan lelaki terbabit berusia 37 tahun dan merampas semua bahan letupan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM8,000,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, antara jenis mercun yang dirampas itu adalah terdiri daripada Happy Boom Assorted Celebration Cake, Happy Boom Cake, Happy Boom Mancis, Happy Boom Cili Padi, Happy Boom Flower Silver Cracking Rain dan pelbagai lagi.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, lelaki terbabit juga pernah ditahan dan mempunyai beberapa rekod lampau atas pelbagai kesalahan sebelum ini.

“Mercun dan bunga api ini dipercayai dibeli oleh lelaki berkenaan dari sebuah syarikat berpangkalan di Rawang, Selangor dan untuk jualan pada bulan Ramadan serta menjelang sambutan Hari Raya Aidifitri nanti.

“Suspek juga membeli mercun ini secara pukal menerusi panggilan telefon dan belum membuat pembayaran kepada syarikat terlibat,” katanya.

Tambahnya, lelaki berkenaan telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Siasatan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN