Pengarah tak mengaku pecah amanah wang syarikat

Pengarah tak mengaku pecah amanah wang syarikat

U. YOGESHWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM176,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, U. Yogeshwaran, 45, didakwa menyalahgunakan wang syarikat Asas Kukuk Security Services (M) Sdn. Bhd. berjumlah RM176,117.55  antara 7 dan 13 Mei 2022 di Bank Muamalat Malaysia Berhad, Menara Bumiputra di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun atau tidak melebihi 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wirna Arifin mencadangkan wang ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwa turut memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasportnya ke mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai dan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam bela tertuduh, Yagoo Subramaniam tidak membantah syarat tambahan tersebut, namun merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan Yogeshwaran  melapor diri setiap bulan ke Pejabat SPRM Putrajaya.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN