Penduduk gembira terima bubur lambuk MAIWP, Media Mulia

Penduduk gembira terima bubur lambuk MAIWP, Media Mulia

Syed Kamarulzaman Syed Kabeer menyampaikan bubur lambuk percuma kepada asnaf pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia bersama MAIWP di Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bubur lambuk memang sudah sinonim dengan kehadiran Ramadan.

Menu itu juga sentiasa dicari oleh umat Islam kerana bukan mudah untuk memasaknya terutama ketika mereka sedang menjalani ibadah puasa.

Sebab itu penerima bubur lambuk berkenaan, Anita Hassan berasa bertuah dan bersyukur kerana Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak di sini menjadi tempat untuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalankan Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk, kelmarin.

Menurutnya yang juga kariah masjid tersebut, dia tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam menjayakan program agihan bubur lambuk tersebut.

Sempena program itu, MAIWP dengan kerjasama Media Mulia menyantuni komuniti tempatan dengan mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini.

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, program kolaborasi bersama Media Mulia itu menunjukkan kesiapsiagaan mereka membantu masyarakat pada Ramadan tahun ini.

“Masih banyak lagi rakan kolaborasi MAIWP dalam program seumpama ini termasuklah agihan bubur lambuk di masjid-masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“MAIWP dan Media Mulia sentiasa berhubung dalam perkhidmatan liputan berita dan promosi program-program anjuran kami,” katanya.

Kakitangan Media Mulia bersama MAIWP dan ahli kariah surau menyediakan bubur lambuk pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia bersama MAIWP di Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Kuala Lumpur – UTUSAN/SADDAM YUSOFF

Aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk itu bermula seawal pukul 8 pagi meriah dengan kehadiran ahli kariah surau serta dibantu oleh kakitangan Media Mulia.

Sementara itu, ketua tukang masak, Fatisi Ahmad yang mempunyai pengalaman memasak bubur lambuk selama 28 tahun berkata, mereka membuat persiapan satu malam sebelum program bermula dengan bantuan seramai 20 orang wakil daripada penduduk di sini.

“Istimewanya bubur lambuk kami di PPR Seri Semarak ini berbanding di tempat lain, kami tambah udang kering dan daging sebagai rencah dalam masakan ini, kebanyakan penduduk di sini menganggapnya satu juadah yang amat istimewa,” katanya.

Beliau berkata, program anjuran MAIWP dan Media Mulia ini sangat membantu penduduk di sini dalam menyediakan juadah berbuka dan jika ia tahan lama, bubur lambuk itu juga menjadi makanan untuk mereka bersahur.

Wakil Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak menyerahkan bubur lambuk dari blok ke blok PPR Seri Semarak pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk MAIWP.

Pengerusi Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Mahat Yunus pula berkata, beliau sangat gembira dan berbangga apabila dapat bekerjasama dalam program agihan bubur lambuk bersama MAIWP.

Sementara itu penerima Kongsi Berkat Bubur Lambuk, Hani Ramin berkata, beliau bersyukur dapat merasa agihan bubur lambuk ini kerana tidak selalu mendapat peluang seperti itu melainkan pada bulan Ramadan.

“Program agihan bubur lambuk ini saya dapat tahu daripada kumpulan WhatsApp penduduk PPR Seri Semarak dan akan disumbangkan kepada golongan asnaf serta orang yang kurang berkemampuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN