Pemimpin politik jangan jadi batu api perpecahan kaum

Pemimpin politik jangan jadi batu api perpecahan kaum

RAMLAH ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin politik diingatkan tidak menjadi batu api perpecahan kaum dengan menjadikan sesuatu isu sebagai political mileage atau habuan politik demi meraih sokongan.

Tokoh sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, perpa­duan kaum di negara ini masih belum sempurna selagi wujud kelompok yang menjadi dalang yang memecahbelahkan keharmonian rakyat pelbagai agama, bangsa dan etnik.

Beliau berkata, walaupun perselisihan rakyat sejak kebe­lakangan ini masih terkawal ekoran isu kalimah Allah, namun segalanya berpunca daripada sikap pemimpin politik yang saling mengeluarkan kenya­taan berbaur perkauman.

SENSITIVITI

Katanya, kebebasan bersua­ra tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat kenyataan sewenang-wenangnya, apatah lagi menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain.

“Pemimpin perlu menghentikan serangan secara terbuka. Hakikatnya hubungan antara rakyat amat baik sekali, tetapi disebabkan sikap segelintir pe­mimpin, maka ada kalangan mereka terikut dan terbawa-bawa sekali gus menyebabkan perpaduan negara terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, isu kalimah Allah yang tertera pada stoking secara tidak langsung telah menjejaskan perpaduan kaum dan agama apabila wujud segelintir kecil pemimpin politik membuat serangan terbuka antara satu sama lain dan menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai latar belakang.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Menurut Ramlah, kerajaan telah mengambil tindakan wajar dan segera dengan mengheret beberapa individu ke mahkamah di atas tuduhan se­ngaja berniat melukakan pe­rasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.

Justeru, katanya, polemik itu perlu dihentikan dan serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menghukum pelaku terlibat.

PERTAHAN

“Tidak salah mempertahankan agama dan kaum jika dihina, namun negara ini ada undang-undang untuk mendakwa mana-mana terlibat. Maka biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas.

“Rakyat bawahan juga di­ingatkan jangan terikut-ikut sikap pemimpin politik ­sebegini, sebaliknya perlu menjadi contoh kepada masyarakat lain untuk memperkukuhkan hubu­ngan antara kaum,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, isu kalimah Allah pada stoking perlu ditangani secara bijaksana, bukannya dijadikan lat meraih political mileage.

Katanya, namun paling utama bagaimana untuk menangani Islamophobia yang membawa cercaan kepada agama Islam sekali gus menjadi barah kepada integrasi antara kaum dan agama dalam negara ini.

“Siasatan telah buat dibuat, maka siapa terlibat telah didakwa dan kena hukuman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×