PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Syahredzan Johan mendakwa Ketua Dewan Ulama Pas Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada golongan bukan Muslim.
Beliau berkata, tujuan dan niat pengumuman Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan adalah baik dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Kita seharusnya tidak boleh lupa mengenai insiden-insiden yang dilaporkan sebelum ini ketika bulan puasa.
“Sebelum ini, anak-anak bukan Muslim terpaksa makan di tandas sekolah dan tempat-tempat yang tidak sesuai.
“Adakah pemimpin Pas seperti Datuk Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan untuk anak-anak ini?,” katanya katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menegaskan, tidak ada keperluan untuk menutup operasi kantin sekolah semasa Ramadan demi menghormati hak pelajar bukan Islam.
Bagaimanapun, Ahmad Yahaya menganggap pengumuman menteri itu sebagai keterlaluan dan seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan serta sengaja mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Syahredzan menggesa pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) berhenti mempolitikkan kantin sekolah anak-anak.
“Perkara seperti ini tidak wajar dicemarkan dengan politik sempit mereka. Jadi amatlah mendukacitakan apabila ada pemimpin Pas dan PN yang menjadikan perkara ini suatu polemik politik.
“Sekali lagi, mereka membuktikan bahawa pendirian politik mereka tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya. – UTUSAN










