KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mencapai kemajuan 80.28 peratus setakat Februari lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kemajuan projek di Terengganu adalah terpantas dan mencatat peratusan tertinggi berbanding tiga negeri lain iaitu Pahang, Kelantan dan Selangor.
Menurutnya, proses pengambilan tanah untuk semua laluan utama ECRL di Terengganu pula telah selesai sepenuhnya
Selain itu, katanya, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemasangan landasan dapat disiapkan pada hujung tahun ini.
“Dengan kemajuan kerja sebanyak 80.28 peratus di Terengganu dan 62.40 peratus secara keseluruhan, kita sebenarnya berada di landasan yang baik untuk projek siap sepenuhnya pada akhir Disember 2026.
“Di Terengganu kerja-kerja infrastruktur, sebahagian besar sudah diselesaikan. Selebihnya adalah kerja-kerja elektrifikasi, sistem dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL anjuran MRL dan China Communications Construction Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, seramai 25 orang termasuk anak yatim dan pelajar Madrasah Tabiyyah Islamiyah Darul Hijrah diraikan dan diberi sumbangan duit raya dan penyampaian cek kepada madrasah.
Pembinaan projek ECRL di Terengganu merangkumi jajaran sepanjang 242 kilometer dari daerah Besut ke daerah Kemaman.
Pembangunan turut melibatkan pembinaan enam stesen iaitu Stesen Jertih, Besut; Stesen Bandar Permaisuri, Setiu; Stesen Kuala Terengganu dan Stesen Kemasik, Kemaman yang akan berfungsi untuk mengangkut penumpang.
Sementara dua lagi stesen iaitu Stesen Dungun dan Stesen Chukai, Kemaman pula akan dibangunkan bagi tujuan pengangkutan kargo dan juga stesen penumpang.
Jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor sepanjang 665 kilometer dijangka siap pada Disember 2026.
Apabila siap, masa perjalanan dari Kuala Terengganu ke Terminal Bersepadu Gombak hanya akan mengambil masa sekitar tiga jam. – UTUSAN










