Tidak sempat selamatkan adik

Tidak sempat selamatkan adik

KEADAAN bas ekspres yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 75.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Gurun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemandu kedua bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Gurun, semalam terkilan kerana gagal mengeluarkan pemandu utama yang juga adik kandungnya, M. Jayakumar, 48, sebelum kenderaan terbabit terbakar.

M. Manivannan, 50, dari Padang Serai bagaimanapun sempat menyelamatkan empat penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hatyai, Thailand.

Menceritakan saat-saat mencemaskan itu, Manivannan berkata, para penumpang terpaksa bergelut kira-kira 20 minit untuk keluar dari bas sebelum api marak dengan pantas.

“Saya tidur di belakang sebelum tersedar kerana hentakan. Saya terus meluru ke bahagian pemandu dan melihat adik tersepit serta dalam keadaan terkulai di stereng.

“Penumpang cuba keluar melalui pintu depan tetapi gagal sebab terhimpit dengan penghadang jalan. Saya terus berlari ke belakang buka pintu kecemasan.

“Selepas itu saya mahu ke depan semula ambil adik tetapi api sudah marak. Memang terkilan sebab tak sempat keluarkan adik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Kemalangan dengan sebuah treler itu berlaku di Kilometer 75.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, pagi semalam.

Mangsa rentung manakala dua penumpang cedera.

Manivannan bersama dua penumpang lain serta pemandu treler kesemuanya berusia 19 hingga 50 tahun selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi apabila bas berkenaan dipercayai melanggar belakang treler dari arah sama sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelah kiri.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×