KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa melaksanakan perancangan serta mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu sekolah daif supaya sekolah-sekolah dalam negara ini dapat dipastikan berada dalam keadaan selamat dan kondusif.
Dapatan itu dibentangkan selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selesai mengadakan prosiding pada 17 Januari lalu dengan memanggil empat saksi.
Mereka ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Badioezaman Ab. Khalik; Timbalan Pengarah Infrastruktur Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr. Cassidy Anak Morris dan Ketua Penolong Pengarah JKR Sabah, Petrocelli Joseph.
Malah, bagi melengkapkan prosiding tersebut, PAC turut mengadakan lawatan kerja ke empat buah sekolah di Sarawak pada 5 Februari lalu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Supok, SK Nanga Grenjang di Saratok serta SK Serabang dan SK Paku Central di Betong.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, melalui prosiding diadakan pihaknya mendapati bahawa bangunan yang telah lama dikenal pasti dan disyorkan tidak sesuai untuk digunakan oleh pihak JKR masih tiada tindakan penambahbaikan.
Menurut beliau, terdapat bangunan yang sudah 12 tahun mendapat syor untuk dibaik pulih tetapi masih tiada tindakan diambil.
“PAC dimaklumkan bahawa hal ini terjadi kerana kekangan kewangan yang menyebabkan KPM terpaksa memilih sekolah-sekolah yang perlu diutamakan dahulu berdasarkan kepada keadaan atau kerosakan yang lebih kritikal.
“Selain itu, PAC juga mendapati kelewatan memproses permohonan projek sekolah daif oleh KPM menyebabkan berlakunya Notis Perubahan yang menyebabkan kerosakan sedia ada menjadi lebih teruk serta ditambah pula dengan keperluan baharu bagi mengikut perkembangan terkini,” katanya semasa sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini menyatakan hanya 411 (27.3 peratus) daripada 1,505 sekolah diangkat permohonan projek daif dan 398 daripadanya telah diluluskan.
Bagaimanapun, hanya 386 projek daif yang dilaksanakan dan 123 (31.9 peratus) daripadanya siap dilaksanakan. Manakala, 1,094 sekolah belum diangkat permohonan projek daif.
Semasa prosiding PAC pada 17 Januari lalu, KPM memaklumkan bahawa sebanyak 267 permohonan projek sekolah daif telah diangkat ke Kementerian Ekonomi (KE) dan 249 permohonan telah diluluskan.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC mendapati kegagalan KPM mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu tersebut menyebabkan kesan-kesan negatif kepada seluruh ekosistem persekolahan.
“Bangunan atau ruangan yang telah disyorkan tidak sesuai dan selamat untuk digunakan oleh pihak JKR masih digunakan dan penempatan alternatif yang disediakan tidak kondusif sekali gus menjejaskan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
“(Selain itu), terdapat kos-kos tambahan lain seperti pembinaan penempatan sementara bagi tujuan penyuraian murid, pertambahan kos overhed, kos-kos berkaitan masa, kos lanjutan dan lain-lain yang perlu ditanggung oleh kerajaan.
“(Malah), pertambahan tekanan kerja ke atas kakitangan sekolah, pejabat pendidikan dan KPM disebabkan oleh desakan serta keluhan daripada ibu bapa serta orang awam dan tekanan ke atas pelajar kerana perlu menjalankan sesi PdP dalam keadaan yang tidak kondusif dan selesa,” katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC memberi tempoh selama dua bulan kepada KPM sebelum dipanggil; semula bagi membolehkan jawatankuasa mengetahui tindakan yang sudah diambil terhadap syor-syor dikemukakan.
“(Antara) syornya adalah KPM perlu melancarkan Program Sifar Bangunan Sekolah Daif seluruh negara selaras dengan komitmen KPM untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi pelaksanaan PdP.
“KPM turut perlu meningkatkan perancangan dan pelaksanaan program penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi mengurangkan kebarangkalian sekolah-sekolah berkenaan dikategorikan sekolah daif.
“Selain itu, memantapkan kaedah pengurusan projek melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian secara berterusan bagi memastikan semua projek yang dirancang siap mengikut jadual,” jelasnya.
Tambahnya, Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Semula Bangunan Daif Di Sekolah yang dipengerusikan oleh KPM turut perlu diperkasakan supaya lebih efektif bagi menangani isu-isu sekolah daif. – UTUSAN










